Khamis, 17 Mei 2018 | 6:00pm

Keuntungan suku pertama PetGas meningkat

KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PetGas) mencatatkan keuntungan bersih RM505.35 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2018, meningkat berbanding RM463.16 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan menokok kepada RM1.35 bilion daripada RM1.17 bilion, disumbangkan terutamanya oleh terminal regasifikasi gas asli kumpulan yang baharu di Pengerang, Johor, yang memulakan operasi komersil pada November 2017 dan hasil yang lebih tinggi daripada semua segmen.

PetGas dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata hasil daripada segmen regasifikasi melonjak sebanyak RM135.3 juta atau 82 peratus kepada RM299.6 juta berbanding dengan RM164.3 juta pada suku yang sama tahun 2017, khususnya melalui sumbangan terminal di Pengerang.

"Kumpulan terus merekodkan prestasi operasi yang kukuh. Pemprosesan gas, pengangkutan dan kilang regasifikasi terus berprestasi baik di atas kebolehpercayaan 99 peratus," katanya.

PetGas berkata, loji pemprosesan gas kumpulan sudah mencapai 100 peratus kebolehpercayaan yang menyumbang kepada struktur pendapatan berasaskan prestasi yang lebih tinggi berbanding suku yang sama tahun sebelum ini.

"Segmen hasil pemprosesan gas mencatatkan peningkatan sebanyak RM4.1 juta atau 1.1 peratus.

"Sumbangan, bagaimanapun, adalah lebih rendah sebanyak 8.7 peratus pada RM161.3 juta kerana peningkatan hasil ini telah diimbangi oleh susut nilai yang lebih tinggi berikutan berakhirnya aktiviti pemulihan berkanun dan pertambahan dalam kos kakitangan," katanya.

PetGas berkata, lembaga pengarahnya telah meluluskan dividen interim pertama sebanyak 16 sen sesaham biasa yang berjumlah RM316.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018.

"Dividen akan dibayar pada 12 Jun 2018," katanya. - BERNAMA

93 dibaca
Berita Harian X