Selasa, 17 April 2018 | 4:14pm
MBSB Bank Berhad dan Cagamas SRP Berhad menandatangani perjanjian berhubung dengan Program Jaminan Mortgage (MGP) Cagamas dan penyertaan MBSB menerusi Skim Rumah Pertamaku di The St Regis. - Foto Halim Salleh

MBSB sasar RM6b pembiayaan rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: MBSB Bank Bhd yang baharu ditubuhkan menyasarkan untuk membiayai sebanyak RM6 bilion pembiayaan rumah mampu milik tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman, berkata sasaran berkenaan akan mengukuhkan kedudukan bank itu bagi tempoh tiga tahun akan datang.

"Sebahagian besar portfolio kami sebelum menjadi bank sentiasa mengutamakan pembangunan dan perumahan mampu milik, dan itu tidak akan berubah selepas kami menjadi sebuah bank penuh.

"Setakat ini, MBSB merekodkan pembiayaan rumah mampu milik antara RM5 bilion hingga RM6 bilion tahun ini dan ini akan mengukuhkan kedudukan kami untuk tiga tahun akan datang," katanya.

Sehingga kini, MBSB Bank membiayai kira-kira RM4.5 bilion projek perumahan mampu milik oleh kerajaan, antaranya Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PP1M) bernilai RM2 bilion, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bernilai RM1.6 bilion dan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) bernilai RM900 juta.

Pengambilalihan bank Asia Finance Bank Bhd bulan lalu menjadikannya bank Islam yang penuh dengan asas aset yang lebih besar iaitu RM47.81 bilion.

"Dengan status baharu ini, kami sedang melancarkan lebih banyak produk yang mematuhi Syariah pada masa hadapan.

"Kami kini kukuh dalam pembangunan hartanah dan akan melihat ciri tambahan untuk meningkatkan penembusan pembiayaan kami.

"Kami juga akan fokus kepada pengukuhan portfolio pembiayaan perdagangan, menambah lebih banyak produk kepada segmen runcit Islam serta mengembangkan perbankan transaksi," katanya.

MBSB Bank juga memperuntukkan RM250 juta untuk menaik taraf sistem perbankan utamanya dengan melancarkan penyelesaian teknologi kewangan (fintech) pada suku ketiga tahun ini.

Terdahulu, Ahmad Zaini bersama Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas SRP Bhd, Datuk Chung Chee Leong menandatangani perjanjian kerjasama dua hala bagi Program Jaminan Mortgage (MGP) Cagamas dan penyertaan MBSB menerusi Skim Rumah Pertamaku.

MBSB Bank akan membiayai jaminan Cagamas untuk ketiga-tiga projek rumah mampu milik yang disokong kerajaan, yang kini mempunyai nilai pembangunan kasar kolektif sebanyak RM9.61 bilion.

325 dibaca
Berita Harian X