Selasa, 17 April 2018 | 12:58pm

Khazanah umum pelantikan baharu, perubahan SLT

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mengumumkan pelantikan baharu serta perubahan pada pasukan kepimpinan kanannya (SLT).

Khazanah dalam satu kenyataan berkata, Pengarah Pelaburannya, Amran Hafiz Affifudin dan Bryan Lim dinaikkan pangkat kepada Pengarah Eksekutif Pelaburan mulai 1 April 2018.

Bagaimanapun, Bryan akan meneruskan peranannya sebagai Ketua Pejabat Serantau Khazanah di Beijing, seperti yang diumumkan Khazanah sebelum ini, selain beliau turut menerajui operasi Khazanah di Asia Utara (meliputi China, Jepun dan Korea).

"Beliau (Bryan) mengambil alih tugas daripada Datuk Ben Chan sebagai Pengarah Eksekutif Pelaburan, yang akan meninggalkan Khazanah pada akhir bulan April 2018," katanya.

Khazanah berkata, Pengarah Eksekutif, Pejabat Pengarah Urusan dan Pengarah

Urusan Khazanah Research Institute (KRI), Datuk Charon Mokhzani akan meninggalkan Khazanah dan KRI pada

pertengahan Mei 2018, selepas berkhidmat selama hampir lima tahun.

"Pelantikan baharu dan perubahan ini adalah sebahagian daripada inisiatif berkala yang dilaksanakan oleh Khazanah untuk mengukuhkan pasukan pengurusan kanannya, selari dengan amalan penggantian kepimpinan yang berterusan," katanya.

Pada Disember 2017, Khazanah mengumumkan pelantikan Ahmad Zulqarnain Onn dan Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengarah Urusan.

Amran menyertai Khazanah pada tahun 2011 sebagai Naib Presiden Kanan Pelaburan. Beliau memulakan kerjaya di Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dalam bidang kewangan korporat dan perbendaharaan.

Beliau seterusnya berkecimpung dalam industri ekuiti persendirian di mana beliau menyandang pelbagai tugas dan tanggungjawab di beberapa firma.

Amran berkelulusan Sarjana Muda Sains bidang Perdagangan, dengan pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan daripada McIntire School of Commerce di University of Virginia.

Sementara itu, Bryan menyertai Khazanah sebagai Penolong Naib Presiden Pelaburan pada Disember 2005.

Sebelum bertugas di Khazanah, beliau pernah berkhidmat di Ernst & Young, Rating Agency Malaysia Bhd (RAM) dan ECM Libra Securities Sdn Bhd.

Bryan memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Program Felo Sloan MIT di Massachusetts Institute of Technology dan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan daripada Lincoln University, New Zealand.

Beliau juga adalah Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA).

"Pelantikan baharu dan perubahan kepada SLT ini menyokong usaha penginstitusian yang dilaksanakan secara berterusan dan menjadi salah satu tumpuan utama Khazanah," katanya.

277 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »