Rabu, 14 Februari 2018 | 7:06pm
RAJA Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, AmInvestment Bank dan Pengarah Urusan, Perbankan Borong, Kumpulan AmBank (kiri) menerima Wanita Ikon Malaysia 2017 dari Jessica Tong, Editor Ketua, Majalah Branding Asia (tengah) dan Dato 'Dr Jacob Thomas, Pengerusi, Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd (kanan). - Foto NSTP
RAJA Teh Maimunah Raja Abdul Aziz. - Foto Ghazali Kori

Raja Teh Maimunah dinamakan Ikon Wanita Malaysia

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Bhd dan Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dinamakan Wanita Ikon Malaysia 2017 pada Sidang Kemuncak Anugerah Ikon Wanita baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kumpulan AmBank berkata anugerah berkenaan dianjurkan oleh Business Excellence & Research Group Pte Ltd (BERG), beribu pejabat di Singapura yang komited untuk menggalakkan dan mempromosikan kecemerlangan perniagaan dalam pelbagai sektor.

Majlis anugerah berkenaan berlangsung pada 30 Januari lalu bagi meraikan dan mengiktiraf pencapaian serta sumbangan wanita yang cemerlang dalam bidang berbeza.

Inisiatif itu menggariskan peranan penting yang dimainkan oleh wanita dalam masyarakat, di samping menghargai sikap, inisiatif, keazaman dan ketekunan mereka.

Raja Teh Maimunah yang mempunyai pengalaman selama 23 tahun dalam bidang perbankan dan kewangan, dengan tumpuan dalam bidang perbankan Islam dan pelaburan, dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang dari University of East London, United Kingdom.

Beliau juga pemegang ijazah dalam undang-undang LLB (Kepujian) dari universiti yang sama.

Raja Teh Maimunah adalah penasihat Perbankan dan Kewangan Islam kepada Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, anggota lembaga Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), dan anggota Jawatankuasa Kewangan Islam bagi Institut Akauntan Malaysia.

-BERNAMA

253 dibaca
Berita Harian X