Rabu, 14 Februari 2018 | 6:30pm
PRESIDEN Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd Rahman. - Foto Hafiz Sohaimi

PEKEMA minta PROTON beri kepastian naik taraf 3S

CYBERJAYA: PROTON Holdings Bhd (PROTON) diminta memberi jaminan kepada pengedarnya berhubung tempoh naik taraf pusat 1S (jualan) kepada 3S (jualan, servis, alat ganti) yang dilanjutkan sehingga Disember 2020.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd Rahman, berkata berlaku percanggahan maklumat apabila pengedar terbabit memberitahu pihaknya bahawa PROTON memaklumkan mereka perlu menaik taraf pusat 1S sebelum Oktober ini.

"Sehubungan itu, jika apa yang pengedar katakan ini benar, kita meminta kelonggaran daripada pihak PROTON supaya dapat melanjutkan tempoh bagi memberi mereka masa mencukupi untuk menaik taraf pusat jualan mereka.

"Sekiranya selepas tempoh itu pun mereka masih gagal berbuat demikian, maka terserah kepada pengurusan PROTON untuk berbuat apa saja kepada mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan pertemuan dengan hampir 30 pengedar PROTON di ibu pejabat PEKEMA di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut Zainuddin berkata, PEKEMA juga memohon kepada kerajaan supaya membenarkan Kumpulan Wang Amanah Dana Automotif Bumiputera digunakan sebagai pinjaman mudah kepada pengedar PROTON untuk dijadikan modal menaik taraf pusat 1S mereka.

Katanya, setakat ini dana yang dikumpulkan sejak 2010 itu dianggarkan berjumlah RM3 bilion dengan 40 peratus atau RM1.2 bilion boleh digunakan bagi membantu membiayai Bumiputera yang mahu menceburi perniagaan automotif.

"Kita harap dana ini dapat digunakan bagi membantu pengedar ini dengan mengenakan kadar faedah rendah, kurang daripada empat peratus," katanya.

Dalam pada itu, Zainuddin menjelaskan vendor dan pengedar PROTON akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, di Menara MITI petang esok.

Semalam, Mustapa memaklumkan akan mengadakan perjumpaan dengan pengedar dan vendor rasmi PROTON dalam tempoh terdekat berhubung tekanan yang mereka dialami.

Katanya, kerajaan mengambil berat semua pandangan dan masalah yang dihadapi pengedar jenama kereta nasional itu dengan menyarankan mereka untuk menaik taraf premis kepada kemudahan 3S berbanding 1S ketika ini.

Ia susulan daripada pendedahan PEKEMA baru-baru ini yang mengatakan pihaknya menerima aduan daripada syarikat jualan Bumiputera mengenai dasar pengurusan baru PROTON yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), Dr Li Chunrong sejak November tahun lalu yang dikatakan banyak memberi tekanan kepada mereka dengan pentadbiran agak keras.

126 dibaca
Berita Harian X