Rabu, 14 Februari 2018 | 5:50pm
DATUK Wan Nawawi Haji Wan Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin serta pengurusan, jurulatih dan pemain TFC bersama dengan Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC "Peteh Terengganu Peteh"

Bank Islam lancar kad debit Terengganu FC

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) bekerjasama dalam usaha penjenamaan bersama dengan Visa dan Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC), menerusi Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC.

Ia sekali gus membuktikan sokongan bank berkenaan terhadap sukan bola sepak negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin, berkata penjenamaan bersama itu adalah inisiatif Bank Islam untuk memberikan sokongan padu kepada sukan bola sepak negara.

"Sepanjang 2016 dan 2017, Bank Islam sudah mengagihkan insentif melalui penjenamaan bersama berjumlah lebih RM9 juta kepada pasukan bola sepak tanah air.

"Kami menjangkakan jumlah berkenaan akan meningkat melalui inisiatif sama dengan beberapa pasukan bola sepak lain untuk tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis pelancaran diadakan dalam satu majlis di Terengganu, hari ini dan turut dihadiri Timbalan Presiden TFC, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Penjenamaan bersama itu adalah ketujuh antara Bank Islam, Visa dan Persatuan Bola Sepak, selepas

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM); Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA); Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP); Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA); Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).

Katanya, setakat ini, Bank Islam mengeluarkan lebih 700,000 kad penjenamaan bersama dengan pasukan bola sepak tempatan sepanjang 2016 dan 2017.

"Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan kami berharap ia dapat membantu pembangunan bola sepak tempatan, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan rakyat menerusi sukan," katanya.

Kad berkenaan menawarkan pelbagai manfaat kepada pemegang kad yang mana sebahagian daripada jumlah fi tahunan kad akan dimanfaatkan oleh TFC sebagai salah satu sumbangan daripada bank dan pemegang kad kepada pembangunan pasukan bola sepak kesayangan mereka.

Sementara itu, Wan Nawawi berkata, ia adalah pertama kali kerjasama TFC dengan bank menerusi program kad penjenamaan bersama.

"Menerusi kerjasama itu, diharap penyokong bola sepak Terengganu akan menikmati pelbagai manfaat daripada kad debit-i berkenaan selain dapat menyumbang kepada pembangunan pasukan negeri," katanya.

Sempena pelancaran, Bank Islam turut memperkenalkan Kempen Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC "Peteh Terengganu Peteh" kepada pemegang kad.

Dengan perbelanjaan runcit minimum berjumlah RM50, pemegang kad layak untuk kemasukan kempen secara automatik dan berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga RM2,000.

Kempen bermula hari ini hingga 14 Jun 2018 dan Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC boleh didapati di semua cawangan Bank Islam di negeri Terengganu serta cawangan terpilih di kawasan Lembah Klang.

231 dibaca
Berita Harian X