Selasa, 13 Februari 2018 | 5:02pm

MISC raih laba RM2 bilion

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai MISC Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017, menurun kepada RM2 bilion daripada RM2.81 bilion yang direkodkan bagi tahun kewangan berakhir 2016.

Bagaimanapun, perolehan meningkat 4.6 peratus kepada RM10.04 bilion daripada RM9.60 bilion yang dicatatkan sebelumnya, kata kumpulan berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

"Perolehan gas asli cecair berjumlah RM2.83 bilion, peningkatan sebanyak 14.1 berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM2.48 bilion, kebanyakannya daripada hasil permulaan pajakan dua kapal baharu pada tahun semasa," kata syarikat itu.

Bagi prospek masa depan, MISC berkata, lebihan tan dan pengurangan pengeluaran minyak dunia oleh Pertubuhan NegaraPengeksport Minyak (OPEC) pada 2017 akan terus mempengaruhi segmen penghantaran petroleum pada 2018.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata, nilai perolehan kontrak kecil bagi kapal tangki dan jangkaan permintaan minyak tinggi, di tengah-tengah penurunan inventori minyak mentah dunia, akan membantu memperbaiki keseimbangan bekalan dan permintaan kapal tangki.

-BERNAMA

162 dibaca
Berita Harian X