Selasa, 13 Februari 2018 | 1:58pm
LEO Moggie pada perasmian Pusat Latihan Teknikal di Kota Belud, Sabah bagi melatih warga kerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

TNB komited bangunkan modal insan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited membangunkan modal insan industri perbekalan elektrik negara, menerusi penubuhan sebuah Pusat Latihan Teknikal di Kota Belud, Sabah bagi melatih warga kerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, selain SESB yang juga anak syarikat 83 peratus milik TNB , pusat latihan berkenaan juga memberi manfaat kepada kontraktor SESB dan masyarakat awam di Sabah.

Ia pusat latihan teknikal bagi kursus daya saing pencantum kabel yang pertama di Sabah dan mendapat pentauliahan Suruhanjaya Tenaga untuk mengendalikan latihan kepada pelatih dalam kategori pencantum kabel elektrik sehingga tahap voltan 33kV.

Merasmikan pusat itu baru-baru ini, Moggie, yang juga Pengerusi SESB berkata operasi pusat latihan tersebut turut membabitkan sebuah lagi anak syarikat 100 peratus TNB, iaitu TNB Integrated Learning Solution Sdn Bhd (ILSAS).

Menurutnya, penubuhan pusat itu adalah selari dengan hasrat TNB membangunkan modal insan berkaitan latihan teknikal dan perkhidmatan khusus yang dilaksanakan oleh ILSAS untuk TNB dan industri tenaga sejak 40 tahun lalu.

"Sejak 1978 lagi, ILSAS giat membangunkan tenaga mahir yang kini dikenali sebagai Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET). Menerusi ILSAS, tiga tahun kebelakangan ini TNB membelanjakan RM90 juta setahun untuk pembangunan modal insan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain ILSAS, pembabitan TNB membangunkan modal insan turut membabitkan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN).

Daripada 27,729 siswazah yang dilahirkan Uniten sejak penubuhannya pada 1997, seramai 12,505 atau 45 peratus adalah lulusan kejuruteraan.

Tahun lalu, Uniten berada dalam kelompok dua peratus terbaik daripada 26,000 universiti di seluruh dunia, berdasarkan QS World University Rankings mengikut subjek Kejuruteraan dan Teknologi.

"YTN pula menawarkan 11,000 biasiswa dan pinjaman boleh ubah sejak 1993 lagi," kata Moggie lagi.

Pada 2017, YTN membelanjakan RM55.78 juta bagi penajaan rakyat Malaysia yang cemerlang menyambung pendidikan di universiti tempatan dan luar negara, menjadikan keseluruhan lebih RM1 bilion dilaburkan untuk tujuan itu.

149 dibaca
Berita Harian X