Isnin, 12 Februari 2018 | 11:30am

AirAsia X sedia harga promosi 8 destinasi

KUALA LUMPUR: AirAsia X menawarkan tambang dua orang ke Bali, Jaipur, Jeju, Taipei, Seoul, Osaka, Hokkaido dan Hawaii daripada RM288 sehala, termasuk cukai, yang boleh ditempah mulai hari ini hingga 18 Februari 2018.

Dalam kenyataannya hari ini, syarikat penerbangan itu berkata tempahan boleh dibuat menerusi airasia.com bagi perjalanan serta-merta hingga 31 Julai 2018.

Ketua Komersial AirAsia X, Barry Klipp berkata tambang serendah RM288 untuk dua orang itu serta potongan tambahan 50 peratus 'Pilih Tempat Duduk' itu adalah promosi terbaik setakat ini, dan sesuai sebagai gerbang romantik atau untuk berbulan madu kali kedua.

"Kami pilih beberapa laluan paling popular untuk promosi sempena tempoh perjalanan kemuncak Hari Valentine dan Tahun Baru Cina untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang atas sokongan mereka," katanya.

Dalam tempoh ini, tambang promosi dua orang bagi tempahan yang sama ke Bali (hanya kod penerangan AK dan D7) adalah serendah RM288 sehala, Jaipur (RM388), Jeju (RM588), Taipei (RM638), Seoul (RM727), Osaka (RM868), Hokkaido (RM888) dan Hawaii (RM1,988).

Kumpulan 500 ahli kesetiaan BIG yang pertama menebus penerbangan untuk dua orang atau lebih menggunakan 'BIG Loyalty App' berpeluang menerima rebat sehingga 1,000 mata BIG.

Portal bebas cukai dalam talian syarikat penerbangan itu, ROKKIshop.com, juga menawarkan diskaun sehingga 83 peratus ke atas produk bebas cukai seperti wangian, barang kemas, jam dan banyak lagi. - BERNAMA

1102 dibaca
Berita Harian X