Khamis, 12 Oktober 2017 | 5:30pm

PETRONAS cari peluang LNG baharu di Kanada

CALGARY: Progress Energy, anak syarikat milik penuh PETRONAS akan meninjau peluang lain dalam sektor gas asli cecair (LNG) bagi menjana pulangan daripada asetnya di Kanada.

Ia selepas PETRONAS membatalkan projek LNG bernilai AS$29 bilion (RM122 bilion) tahun ini, kata seorang eksekutif syarikat.

PETRONAS membatalkan rancangan untuk membina loji LNG Pacific Northwest di utara British Columbia, Kanada pada Julai lalu berikutan harga komoditi yang rendah.

Pembatalan itu menyebabkan Progress memiliki hak tanah seluas 800,000 ekar (kira-kira 320,000 hektar) di kawasan minyak syal Montney dan rizab 50 trilion kaki padu sehari.

Sejak projek itu dibatalkan, Progress yang berpangkalan di Calgary berkata, ia merancang untuk menjana pulangan daripada operasi gas asli yang besar di Montney, kawasan dari timur laut British Columbia dan barat laut Alberta, namun hanya memberikan sedikit perincian bagaimana ia akan melaksanakannya.

Naib Presiden Pengeluaran Progess, Dennis Lawrence, berkata syarikat sudah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan kawasan berkenaan sejak lima tahun lalu dan tiba masanya untuk mengeluarkan gas ke dalam pasaran.

"Kami sedang dalam peringkat awal namun akan meneliti sedalam-dalamnya peluang LNG lain, kami akan meneliti peluang petrokimia. Ia bukan satu proses yang mengambil masa sebulan dua," katanya dalam panel perbincangan pada satu persidangan tenaga di sini.

Lawrence bagaimanapun tidak memperincikan peluang LNG yang akan diteliti oleh Progress.

Ogos lalu, akhbar Globe and Mail dari Kanada melaporkan bahawa PETRONAS sedang menilai untuk membeli kepentingan minoriti dalam projek LNG Canada, usaha sama yang dipimpin oleh Royal Dutch Shell.

PETRONAS membeli Progress pada 2012 untuk membekalkan projek LNG Pacific Northwest.

Progress sudah mendaftar sebagai penyedia perkhidmatan penghantaran utama bagi cadangan saluran paip yang menghubungkan gas dari Montney ke hab Alberta dan membekalkannya ke pasaran Amerika Utara.

Minggu lalu, ia dilaporkan sedang meninjau untuk menjual aset minyak dan gas Deep Basin di Alberta.

Ketua Eksekutif LNG Canada, Andy Calitz, yang turut mengambil bahagian dalam perbincangan panel itu berkata syarikatnya akan bersedia untuk membuat keputusan pelaburan akhir projek bernilai AS$32 bilion (RM134 bilion) itu tahun depan.

Pakatan usaha sama itu tahun lalu menangguhkan keputusan akhir bagi mencari kaedah untuk mengurangkan kos. - Reuters

150 dibaca
Berita Harian X