;
Khamis, 5 Oktober 2017 | 7:42pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh (dua dari kanan) mengesahkan dokumen perjanjian itu dengan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group dan PG Mall, Datuk Loius Ng (dua dari kiri) dan disaksikan oleh Ketua Operasi Kumpulan Pegawai, Pos dan Kurir Pos Malaysia Berhad, Nor Azizan Tarja dan Pengarah Sistem Maklumat Pengurusan Pengarah Public Gold Group & PG Mall, Charles Lim (kiri) semasa Majlis Menandatangani Perkongsian Strategik Pelantikan Pos Laju Sebagai Pembekal Logistik E-Dagang Eksklusif PG Mall di Kuala Lumpur. - Foto Aizuddi Saad

Pos Laju perluas khidmat e-dagang

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd memperluas kehadiran dalam sektor e-dagang dengan menandatangani kerjasama logistik eksklusif antara cabang kuriernya, Pos Laju dan pengendali platform beli-belah dalam talian, PG Mall Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, kerjasama itu dijangka meraih pendapatan RM500,000 dalam tahun pertama operasi dengan purata 300 penyerahan barang dalam sehari.

"Kerjasama strategik ini adalah bahagian penting strategi sedia ada kami untuk menjadi penyedia perkhidmatan logistik e-dagang eksklusif bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga di peringkat global," katanya kepada pemberita selepas pemeteraian kerjasama itu bagi pihak Pos Laju di sini, hari ini.

PG Mall diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Wira Louis Ng.

Mohd Shukrie berkata, kerjasama itu akan membolehkan Pos Laju memberi perkhidmatan kepada lebih 5,300 peniaga aktif PG Mall.

"Selain perkhidmatan penghantaran, Pos Laju bersedia menawarkan perkhidmatan berkaitan e-dagang lain seperti tunai ketika penyerahan, kad kredit ketika penyerahan, pengendalian khas barang besar serta perkhidmatan e-pemenuhan," katanya.

Ketika ini, perkhidmatan berkaitan e-dagang menyumbang kira-kira 40 peratus kepada pendapatan Pos Malaysia manakala untuk Pos Laju, ia menyumbang kira-kira 80 peratus.

Sementara itu mengenai Bajet 2018, Mohd Shukrie menjangka kerajaan akan mengumumkan lebih banyak insentif untuk e-dagang di bawah Zon Perdagangan Bebas Digital. - BERNAMA

299 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »