Rabu, 13 September 2017 | 11:50am

Khazanah, KWSP tingkat pelaburan di AS

WASHINGTON DC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat (AS) dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, KWSP saja dijangka melabur antara AS$3 bilion (RM12.57 bilion) hingga AS$4 bilion (RM16.76 bilion) di negara berkenaan.

"Kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden AS, Donald Trump, di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus.

Pertama, katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli Malaysia Airlines Bhd (MAB).

"Kami komited membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.

"Dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga berkenaan akan bernilai melebihi AS$10 bilion (RM41.9 bilion)," katanya.

Pesawat 737 MAX 10 bakal menjadi pesawat satu lorong paling menguntungkan bagi syarikat penerbangan itu, menawarkan kos tempat duduk paling rendah, manakala 787 Dreamliner adalah pesawat enjin berkembar dengan kerangka sederhana bagi perjalanan jarak jauh.

Perdana Menteri kemudian menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Malaysia Airlines dan Boeing Aircraft Corporation bagi pembelian pesawat serta membuka kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di Sepang bernilai AS$3.9 bilion (RM16.34 bilion).

Perbincangan dengan Trump itu adalah kemuncak lawatan kerja Najib ke AS dari 11-13 September atas jemputan daripada Presiden AS ke-45 itu yang memegang jawatan pada 20 Januari tahun ini.

Najib berkata, kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.

"Kedua, kami memiliki KWSP, yang juga dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir US$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan berhasrat melabur tambahan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda," katanya.

Perdana Menteri juga berkata Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan sudah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya. - BERNAMA

2233 dibaca
Berita Harian X