Rabu, 13 September 2017 | 10:25am

Malaysia Airlines beli pesawat Boeing AS$3b

WASHINGTON DC: Malaysia Airlines Bhd bersetuju membeli pesawat Boeing 787-9 Dreamliner dan 737 Max susulan syarikat penerbangan meninjau peluang menambah perkhidmatannya.

Malaysia Airlines memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi lapan pesawat Dreamliner dan lapan 737 Max 8, kata Boeing dalam satu kenyataan.

Pesawat berkenaan bernilai AS$3.06 bilion (RM19.99 bilion) berdasarkan harga senarai yang tidak merangkumi diskaun.

MoU itu menandakan kejayaan Boeing dalam persaingan yang dilihat lebih menyebelahi pesaing Airbus SE.

Malaysia sebelum ini mengadakan rundingan dengan Airbus SE bagi kemungkinan membeli pesawat jenis A330neo tetapi tidak mencapai kesepakatan berhubung harga, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew, dalam satu temu bual Jun lalu.

Malaysia Airlines berkemungkinan menggandakan tempahan 25 unit pesawat berbadan lebar 737 Max 10 dalam tempoh lima tahu akan datang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada mesyuarat dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih sebelum pengumuman itu dibuat. - Bloomberg

4591 dibaca
Berita Harian X