Selasa, 12 September 2017 | 8:54pm
DATUK Wan Nawawi Wan Ismail.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Wan Nawawi Pengerusi TDM

KUALA TERENGGANU: Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dilantik sebagai Pengerusi TDM Berhad (TDM), berkuat kuasa 29 Ogos lalu.

Wan Nawawi menggantikan Allahyarham Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar, yang meninggal dunia pada 29 Julai lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan TDM, Datuk Mohamat Muda, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Wan Nawawi yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Oklahoma City University, Amerika Syarikat, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam negeri.

Antara jawatan pernah disandang beliau ialah Pegawai Kewangan negeri; Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Setiu; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Projek Khas); Timbalan Pengarah Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu Unit (SEPU) dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

Beliau menggalas tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sejak tahun lalu.

Mohamat berkata, TDM yakin pelantikan Wan Nawawi mampu memacu TDM ke tahap lebih tinggi, sekali gus mencapai matlamat menerusi Model Transformasi TDM 2022.

TDM adalah anak syarikat Kerajaan Terengganu, yang ditubuhkan pada 1965 dan tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia dengan perniagaan teras dalam perladangan kelapa sawit serta penjagaan kesihatan.

354 dibaca
Berita Harian X