Sabtu, 9 September 2017 | 2:44pm
PENGERUSI Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Datuk Azhar Abdul Hamid. - Foto Khairull Azry Bidin.

Azhar bukan orang baharu dalam perladangan, korporat

MUAR: Pelantikan Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang baharu disifatkan pilihan tepat berikutan pengalaman luasnya dalam sektor perladangan dan korporat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata Azhar juga bukan orang baharu dalam industri berkenaan dan pelantikannya diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada FGV kelak.

"Saya percaya dengan pengalamannya terutama dalam industri perladangan sawit dan latar belakang korporat akan memberi nilai tambah kepada FGV.

"Dia juga mempunyai kriteria yang kita perlukan bagi membantu mengembangkan lagi perusahaan FGV kelak," katanya

pada sidang media selepas menghadiri Qu Digital Malaysia SME Congress 2017 di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Noorazam Osman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamaludin A Hamid dan Ketua Pengarang Kumpulan Malaysia SME, Wayne Lim.

Beliau mengulas mengenai pelantikan Azhar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Azhar pernah menjadi Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad; Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd; Pengerusi Tradewinds Corporation Bhd dan Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation Bhd.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, beliau berharap semua pihak akan memberi kerjasama kepada Azhar dalam melaksanakan tugasnya di FGV kelak.

"Walaupun bukan orang baharu dalam industri ini, kerjasama menjadi elemen kedua yang boleh membantu menjayakan dan memanfaatkan pengalamannya.

"Kita bagi pihak FELDA sebagai pemegang saham terbesar FGV berharap Azhar akan memberikan 'kesegaran' yang diperlukan FGV kelak," katanya.

439 dibaca
Berita Harian X