Jumaat, 8 September 2017 | 9:13pm
DATUK Azhar Abdul Hamid. - Foto fail NSTP/Mokhsin Abidin

FGV belum terima pemberitahuan bertulis pelantikan Azhar

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), dalam satu kenyataan lewat hari ini berkata Tan Sri Sulaiman Mahbob akan kekal sebagai pemangku pengerusi sehingga ia menerima pemberitahuan bertulis daripada Kementerian Kewangan (Diperbadankan) untuk melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusi baharu syarikat.

Lembaga pengarah FGV berkata, sehingga jam 5.30 petang tadi, setiausaha syarikat masih belum menerima pemberitahuan bertulis daripada kementerian berkenaan untuk melantik Azhar sebagai pengarah yang dilantik kerajaan dan pengerusi lembaga pengarah.

"Sebaik menerima pemberitahuan bertulis daripada Kementerian Kewangan (Diperbadankan), lembaga pengarah akan melaksanakan proses yang diperlukan di bawah peruntukan Akta Syarikat, 2016 dan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd untuk melantik Azhar sebagai pengerusi baharu lembaga pengarah FGV.

"Buat masa ini, lembaga pengarah akan terus dipimpin oleh pemangku pengerusi, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, untuk melaksanakan tugasannya," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menamakan Azhar sebagai pengerusi FGV.

Perkara itu, kata Perdana Menteri adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Hak Pemegang Saham Khas menerusi Artikel (80)1 Memorandum and Articles of Association FGV, yang mana Kementerian Kewangan (Diperbadankan), sebagai pemegang saham khas, mempunyai hak untuk melantik pengerusi lembaga pengarah FGV.

605 dibaca
Berita Harian X