Jumaat, 11 Ogos 2017 | 6:25pm
Weifang Sime Darby Port Co Ltd[FOTO /BH]

Terminal cecair Pelabuhan Weifang Sime Darby mula operasi

KUALA LUMPUR: Weifang Sime Darby Port Co Ltd, syarikat usaha sama Sime Darby Bhd dan Weifang Port Co Ltd, mengembangkan skop perkhidmatannya dengan melancarkan terminal cecair iaitu kemudahan storan dan terminal pukal bagi cecair dan bahan kimia di pelabuhan itu di Shandong, Rabu lalu.

Terminal Cecair Weifang Sime Darby adalah projek terminal termaju yang memenuhi spesifikasi keselamatan tertinggi bagi penyimpanan dan pengurusan pengedaran minyak serta bahan kimia.

Kemudahan yang dibangunkan secara berperingkat itu menyaksikan fasa pertama dengan kapasiti storan maksimum 406,000 meter padu sudah beroperasi, manakala fasa kedua dengan kapasiti storan 91,000 meter padu akan beroperasi Oktober ini.

Fasa terakhir dengan kapasiti maksimum 164,000 meter padu masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada separuh pertama 2019.

Naib Presiden Weifang Sime Darby Liquid Terminal Co Ltd, Timothy Lee Chi Tim, berkata terminal itu adalah sebahagian pelan pengembangan induknya bernilai RM1.8 bilion (RMB2.8 bilion) bagi memacu Weifang Sime Darby Port menjadi pelabuhan pelbagai guna utama di rantau itu.

Katanya, pelancaran itu tepat pada masanya untuk merebut pasaran minyak mentah, minyak bertapis dan pengurusan cecair kimia yang berkembang pesat di China, susulan langkah liberalisasi dasar import eksportnya.

"Kami teruja dengan peluang dan prospek terminal cecair baharu ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Majlis pembukaan Terminal Cecair Weifang Sime Darby itu disaksikan oleh Timbalan Datuk Badar Weifang, Wang Shu Hua.

INFO:

Weifang Port

- Terletak di rantau utama ekonomi Teluk Bohai

- Strategik dalam rangkaian pelabuhan utama :

Longkou Port, Yantai Port, Weihai Port, Qingdao Port dan Rizhao Port.

- Gerbang popular kargo dari wilayah tengah, wilayah utara dan wilayah barat Shandong serta Bandar Weifang

Berita Harian X