Khamis, 3 Ogos 2017 | 2:36pm
PENGARAH Eksekutif Shell Lubricants Asia Tenggara dan Oceania, Troy Chapman (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Shell Malaysia Official Online Store di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Shell lancar gedung dalam talian

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia Trading Sdn Bhd melancarkan gedung rasmi dalam talian pertamanya menerusi Lazada Malaysia, platform e-dagang terkemuka di negara ini.

Shell Malaysia Official Online Store memudahkan pemilik kenderaan mendapatkan produk Shell Helix yang tulen, di samping pakej servis minyak enjin di bengkel berdaftar terpilih di Lembah Klang dan Johor pada harga istimewa.

Pakej lengkap itu bermula RM103, merangkumi minyak motor Shell Helix pilihan, penapis minyak, caj perkhidmatan dan pemeriksaan percuma.

Pengarah Eksekutif Shell Lubricants Asia Tenggara dan Oceania, Troy Chapman, berkata Malaysia adalah pasaran pertama di Asia Tenggara yang menawarkan pembelian produk tulen dan pakej servis Shell Helix secara dalam talian menerusi saluran rasmi.

"Ini adalah satu lagi inisiatif daripada Shell yang menunjukkan bagaimana kami kekal sebagai pembekal pelincir nombor satu dunia sepanjang 10 tahun lalu.

"Inisiatif ini akan membantu mengembangkan pasaran dan meluaskan jangkauan kami serta melengkapi jaringan perniagaan sedia ada di negara ini yang terbina sejak 125 tahun lalu," katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Sempena pelancaran itu, pembeli di Shell Malaysia Official Online Store akan mendapat e-baucar daripada Lazada bernilai RM30 bagi setiap pembelian minyak motor Shell atau pakej servis dari 3 Ogos hingga 10 Ogos ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel, berkata kerjasama ini adalah sesuatu yang amat baik untuk Lazada dan Shell kerana ia mengutamakan pelanggan di mana mereka kini mempunyai akses yang tiada bandingannya kepada pelbagai rangkaian produk rasmi Shell Helix.

"Jenama seperti Shell memperakui kepentingan strategik e-dagang di Asia Tenggara dan kami ingin bekerjasama dengan Shell dalam mengembangkan kehadirannya dalam talian bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau ini," katanya.

132 dibaca
Berita Harian X