Isnin, 17 Julai 2017 | 4:56pm

AmInvest syarikat pengurusan pelaburan terbaik

KUALA LUMPUR: AmInvest meraih dua anugerah berprestij baru-baru ini.

Pertama, ia dinobatkan sebagai Syarikat Pengurusan Pelaburan Terbaik Malaysia untuk kali keenam berturut-turut di World Finance Investment Management Awards 2017.

Kedua, sebagai Pengurus Pencen Terbaik Malaysia di acara sulung World's Best Pension Managers Awards 2017.

Sebagai syarikat pengurusan pelaburan terbaik, AmInvest mendahului pesaing lain dalam aspek yang merangkumi prestasi, perkhidmatan, kepimpinan, ketekalan, sasaran dan matlamat bagi kedua-dua ekuiti dan pendapatan tetap.

Pemenang dipilih menerusi dua peringkat saringan: pertama, sistem undian dan kemudiannya melalui penilaian panel pakar industri.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan AmBank Group di sini hari ini.

World Finance diterbitkan pada setiap suku tahun dan adalah majalah dalam talian berpangkalan di United Kingdom.

Ia menyediakan liputan menyeluruh dan analisis ke atas industri kewangan, perniagaan antarabangsa dan ekonomi global.

Anugerah Pengurus Pencen Terbaik Malaysia daripada Global Finance pula menumpu ke atas perniagaan institusi AmInvest dan mengiktiraf AmInvest sebagai firma pengurusan aset yang meletakkan standard bagi prestasi, kepakaran dan perkhidmatan pelanggan.

Pemenang ditentukan dengan bantuan pembaca dan panel perunding antarabangsa seperti Mercer dan profesional dalam pengurusan pencen.

Global Finance adalah majalah yang diterbitkan setiap bulan menumpu kepada berita pasaran kewangan antarabangsa, data dan analisis berpangkalan di New York.

Berita Harian X