Rabu, 10 Oktober 2018 | 4:43pm
Presiden REHDA, Datuk IR Soam Heng Choon semasa taklimat media industri hartanah servey 1H 2018 & Pandangan Pasaran 2H 2019 di Menara Redha. - Foto Rohanis Shukri

Lebih banyak rumah mampu milik akan dibina

PETALING JAYA: Jumlah rumah kediaman berharga RM500,000 dan ke bawah merangkumi 65 peratus daripada pelancaran baharu pada separuh pertama tahun ini, berbanding hanya 52 peratus pada 2017, demikian menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata lebih banyak rumah mampu milik berharga RM500,000 ke bawah akan dibina pada separuh kedua ini bagi memenuhi permintaan bagi segmen pasaran hartanah sedemikian.

Malah, katanya kebanyakan negeri akan melancarkan projek hartanah mereka yang berharga antara RM100,001 hingga RM500,000, manakala bagi Pulau Pinang dan Selangor dalam lingkungan harga RM500,001 hingga RM700,000.

“Bagi Kemaman, Terengganu dan Pasir Mas, Kelantan nilai hartanah yang dilancarkan dianggarkan RM100,001 hingga RM250,000, manakala Kedah/Perlis (Pendang/Chuping); Ayer Keroh, Melaka; Karak, Penor (Pahang); Seremban, Seremban 2 (Negeri Sembilan), Kerinchi (Kuala Lumpur); Kuala Kangsar, Kamunting (Perak) dan Kulai, Tebrau di Johor bernilai RM250,001 hingga RM500,000.

“Sementara di Seberang Prai dan Jelutong di Pulau Pinang serta Shah Alam dan Petaling Jaya di Selangor bernilai RM500,001 hingga RM700,000,” katanya pada taklimat media mengenai Tinjauan Industri Hartanah Separuh Pertama 2018 dan Unjuran Pasaran bagi Separuh Kedua 2018 dan Separuh Pertama 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada separuh kedua tahun ini, pemaju merancang untuk melancarkan 15,852 unit kediaman terdiri daripada 8,991 unit strata, 6,433 kediaman bertanah dan 428 unit komersial.

“Meskipun dua pertiga daripada responden menjangkakan prestasi jualan mereka akan merosot kira-kira 50 peratus dan ke bawah, namun majoriti menjangkakan prospek pasaran optimis bagi sektor hartanah pada tahun depan,” katanya.

Pada separuh pertama 2018, sejumlah 65 peratus daripada pelancaran hartanah terdiri daripada rumah mampu milik berharga RM500,000 dan ke bawah, berbanding 52 peratus pada separuh kedua 2017 dan 44 peratus pada separuh pertama 2017.

Kebanyakan pembeli juga terdiri daripada 97 peratus warga tempatan, manakala bakinya daripada rakyat luar negara.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, REHDA mencadangkan unit perumahan kuota Bumiputera perlu dijual ke pasaran bebas bagi mengelak daripada berlaku lambakan unit kediaman tidak terjual di negara ini,

Katanya, penjualan itu boleh dibuat selepas tempoh enam bulan jika unit kuota berkenaan tidak terjual kepada Bumiputera.

“Mekanisme pelepasan unit perumahan kuota Bumiputera perlu diseragamkan di seluruh negeri. Setakat ini, Selangor dan Pulau Pinang menjalankan pelepasan unit Bumiputera ke pasaran terbuka selepas tempoh enam bulan.

“Oleh itu, mekanisme atau proses sama boleh dicontohi oleh negeri lain yang mana dilihat lebih telus serta membantu mengurangkan lebihan unit kediaman tidak terjual,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan perlu menyemak semula polisi kuota Bumiputera untuk lebih telus dan menjadikannya satu mekanisme pelepasan secara automatik jika ia tidak terjual.

300 dibaca
Berita Harian X