Khamis, 17 Mei 2018 | 3:42pm
SETIAUSAHA Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Chang Kim Loong. - Foto Surianie Mohd Hanif

HBA jumpa Ahli Majlis Penasihat Kerajaan bincang isu perumahan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) menyarankan kerajaan melaksanakan secara mandatori sistem Bina dan Jual (BTS) dengan konsep 10:90 bagi mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai di Malaysia.

Setiausaha Agung Kehormat HBA, Chang Kim Loong, berkata saranan itu dikemukakan pihaknya ketika memberi taklimat mengenai isu sektor perumahan tempatan kepada Ahli Majlis Penasihat Kerajaan diketuai Tun Daim Zainuddin yang bermesyuarat di sini, hari ini.

Kim Loong berkata, sebanyak 253 projek perumahan terbengkalai di Semenanjung Malaysia sejak 2009 hingga 2017, membabitkan 64,290 unit kediaman dan daripada jumlah itu, hanya 43,537 unit terjual.

"Menerusi sistem BTS, pembeli rumah hanya perlu membayar wang pendahuluan 10 peratus ketika membuat tempahan dan tidak perlu membayar apa-apa sehingga kediaman siap untuk diduduki.

"Sistem BTS ini dapat melindungi hak pembeli dan kerajaan boleh melaksanakan secara berperingkat kerana harapan HBA, menjelang tahun 2022 semua projek pembinaan perumahan di negara ini perlu mengguna pakai sistem terbabit," katanya ketika ditemui, hari ini.

Kim Loong berkata, isu tempoh lanjutan masa (EOT) yang diberikan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini turut dipersoalkan kerana ia boleh merugikan pembeli.

"Menerusi perjanjian jual beli (SNP), pemaju perumahan sepatutnya melengkapkan dan menyerahkan unit kepada pembeli dalam tempoh ditetapkan iaitu 24 bulan bagi rumah bertanah dan 36 bulan bagi rumah berstrata, jika tidak pemaju terpaksa membayar pampasan ganti rugi tetap (LAD) kepada pembeli.

"Bagaimanapun, dalam 'keadaan tertentu' pemaju boleh merayu kepada kementerian untuk EOT yang membolehkan mereka melanjutkan tarikh penghantaran unit tanpa perlu membayar LAD dan ia jelas tidak adil untuk pembeli," katanya.

Justeru, Kim Loong berkata, kerajaan perlu mengambil langkah yang perlu bagi mengatasi isu perumahan terbengkalai di negara ini bagi memastikan masalah itu tidak berterusan pada masa depan.

"Langkah ini juga penting bagi memastikan generasi masa depan tidak akan menjadi gelandangan di negara sendiri.

"Ia juga seiring dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk membina rumah mampu dimiliki rakyat ," katanya.

591 dibaca
Berita Harian X