Jumaat, 13 April 2018 | 6:36pm
PENGURUS Urusan Kumpulan Ireka Corporation Berhad, Datuk Lai Voon Hon (tiga dari kanan) bertukar dokumen bersama Timbalan Pengurus Besar Hankyu Hanshin, Masahiko Toda (lima dari kiri) ketika majlis usahasama antara Ireka Corporation Berhad dan Hankyu Hanshin sifat Corp untuk membangunkan Rimbun Kasia di Sofitel Hotel. - Foto Saddam Yusoff

Ireka, firma Jepun rancang projek Dwi@Rimbun Kasia

KUALA LUMPUR: lreka Corporation Bhd akan melancarkan projek Dwi@Rimbun Kasia seawal Jun depan, kata Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Lai Voon Hon.

Beliau berkata fasa pertama projek Rimbun Kasia di Nilai itu akan dimajukan secara bersama dengan pemaju hartanah terkemuka Jepun, Hankyu Hanshin Properties Corp.

Katanya, fasa pertama itu akan membabitkan pembinaan 382 unit pangsapuri sembilan tingkat yang ditawarkan pada harga indikatif bermula daripada RM297,480 seunit.

"Pelancaran awal Dwi@Rimbun Kasia dijadualkan Jun atau Julai depan, yang mana kerja pembinaan akan bermula pada suku ketiga tahun ini. "Fasa pertama itu dijangka siap pada 2021," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian usaha sama antara Ireka dengan Hankyu Hanshin Properties Corp dari Osaka, Jepun.

Menerusi usaha sama itu, Hankyu Hanshin akan menguasai 45 peratus kepentingan dalam Meadowfield Sdn Bhd, iaitu pemaju projek Dwi@Rimbun Kasia, manakala baki 55 peratus dikuasai lreka.

Meadowfield adalah anak syarikat milik penuh lreka.

Hankyu Hanshin adalah anak syarikat milik penuh konglomerat Hankyu Hanshin Holdings Inc, dengan perniagaan teras antara lain dalam hartanah, pengangkutan bandar, hiburan dan komunikasi serta perhotelan.

Nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan Rimbun Kasia dianggarkan RM1.3 bilion, merangkumi lima bahagian projek kediaman dan satu komersial di kawasan seluas 12.2 hektar di Nilai yang dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

GDV bagi Dwi@Rimbun Kasia ialah RM400 juta.

Ia projek hartanah pertama Hankyu Hanshin di Malaysia.

233 dibaca
Berita Harian X