Sabtu, 27 Januari 2018 | 10:39pm
PENGARAH Eksekutif Gamuda Land, Datuk Abdul Sahak Safi (tengah) bersama Pengarah Projek Gamuda Land, Aw Sei Cheh (dua dari kiri) dan Pengurus Besar Gamuda Land, Chu Wai Lune (dua dari kanan) pada majlis pembukaan Galeri Hartanah twentyfive.7, di Shah Alam, petang tadi. - Foto Faiz Anuar

Gamuda Land perkenal The Amber Residence

SHAH ALAM: Gamuda Land hari ini memperkenalkan projek kediaman terbaharunya, The Amber Residence, yang membabitkan kawasan berkeluasan 1.9 hektar (4.8 ekar).

Pengarah Projek Gamuda Land, Aw Sei Cheh, berkata The Amber Residence terdiri daripada bangunan bertingkat tinggi pertama untuk perbandaran twentyfive.7 apabila siap kelak.

"Ia dilengkapi 596 unit pangsapuri servis di dua menara setinggi 30 tingkat di atas podium dua tingkat dengan 32 unit kedai runcit.

"Terdapat banyak tempat tumpuan bagi komuniti The Amber Residence, termasuk kolam renang, gimnasium, gelanggang pelbagai guna, dek yoga, tempat mandi wap, taman herba, joging dan trek berbasikal.

"Setiap unit di The Amber Residence dilengkapi dengan penyaman udara di semua bilik tidur dan ruang tamu serta pemanas air di semua bilik mandi.

"Unit kediaman terpilih mempunyai dapur yang lengkap dan peti sejuk, almari pakaian dan mesin basuh serta pengering.

"Kediaman ini dibina dengan keluasan lantai dari 51.28 meter persegi (552 kaki persegi) hingga 92.9 meter persegi (1,000 kaki persegi) serta dilengkapi kemudahan sistem dua kekunci," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan Galeri Hartanah twentyfive.7, di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Datuk Abdul Sahak Safi dan Pengurus Besar Gamuda Land, Chu Wai Lune.

Sei Cheh berkata, The Amber Residence kini dibuka untuk pendaftaran dan pembeli berminat boleh mengunjungi galeri hartanah di twentyfive.7 atau hubungi 012 257 2527.

Pada masa sama, Sei Cheh mengalu-alukan orang ramai ke galeri hartanah twentyfive.7 di Kota Kemuning, yang mempamerkan perbandaran terbaharunya itu.

"Pembeli kini boleh melihat kediaman dengan reka bentuk pelbagai yang lain dari reka bentuk rumah konvensional, selain boleh mengalami sendiri susunan 'Light House' dan 'Flexi House' kami.

"Fasa 1 yang dilancarkan pada pertengahan tahun 2017, yang terdiri daripada 181 unit rumah superlink dan 98 unit rumah berkembar, dilengkapi susunan ruang tamu khusus bagi memenuhi keperluan pengguna yang berbeza.

"Ia dijangka siap pada akhir tahun 2019 dengan pembinaan Quayside dijangka selesai pada awal tahun 2020," katanya.

318 dibaca
Berita Harian X