Jumaat, 12 Januari 2018 | 9:07pm

Paramount Property cadang beli tanah RM149.7 juta di Sepang

KUALA LUMPUR: Paramount Property (Lakeside) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Paramount Corp Bhd mencadangkan pembelian tanah seluas 16.76 hektar di Sepang daripada Makmur Asiamaju Sdn Bhd (MASB) berharga RM149.7 juta.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Paramount berkata, tanah itu sudah diluluskan untuk pembangunan 418 unit kediaman bertingkat berstrata mengikut perintah pembangunan bertarikh 24 Februari 2014 oleh Majlis Perbandaran Sepang kepada MASB.

Ia berkata, cadangan pengambilalihan itu selaras strategi untuk menambah semula simpanan tanah di lokasi dengan potensi pertumbuhan yang kukuh dan meningkatkan aktiviti pembangunan hartanah untuk menjana pendapatan mapan jangka panjang.

"Arahan pembangunan itu akan membolehkan kumpulan melancarkan pembangunan yang dicadangkan bagi hartanah kediaman bertanah, berpagar dan berpengawal, pegangan bebas di tanah berkenaan.

"Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM570 juta daripada pembangunan ini dalam tempoh enam tahun, pembelian itu akan mengukuhkan lagi GDV semasa kumpulan sebanyak RM8.6 bilion dan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan," katanya.

Paramount berkata, pertimbangan pembelian akan dibiayai melalui dana dalaman serta pinjaman bank. -BERNAMA

289 dibaca
Berita Harian X