Selasa, 12 September 2017 | 4:28pm
KETUA Pegawai Eksekutif Bahagian Pusat Beli Belah dan Taman Temanya, HC Chan. - Foto Zaen Asyraf

Buka lima lagi pusat beli belah

KUALA LUMPUR: Sunway Group akan menambah kawasan boleh disewa bersih (NLA) pusat beli belahnya sebanyak sekali ganda daripada lima juta kaki persegi kepada 10.2 juta kaki persegi menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pusat Beli Belah dan Taman Temanya, HC Chan, berkata pengendali pusat beli belah terbesar tanah air itu yang ketika ini mengendalikan lima pusat beli belah, bercadang membina lima lagi pusat beli belah baharu di kawasan padat penduduk.

Antaranya, beliau berkata, Lembah Klang, Lembah Kinta, Pulau Pinang dan Iskandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM5 bilion menjelang 2020.

"Kita mengambil pendekatan dengan membuat perancangan berhati-hati sungguhpun berhadapan persekitaran ekonomi mencabar.

"Kebanyakan penyewa sedia berpuas hati berniaga di pusat beli belah kami kerana ia memberikan pulangan yang baik.

"Ramai daripada mereka gembira untuk menyertai kami apabila pusat beli belah baharu dibuka nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis mengumumkan nama penyewa dan peruncit utama di pusat beli belah terbaharunya, Sunway Velocity Mall, di Kuala Lumpur semalam.

Chan berkata, termasuk dalam perancangan syarikat ialah pembinaan pusat beli belah baharu di Sunway Iskandar di Johor; Paya Terubong, Pulau Pinang dan di Lost World of Tambun di Ipoh, Perak; selain kerja penambahan di Sunway Pyramid, Selangor.

"Kami masih ada tanah untuk mengembangkan Sunway Pyramid. Di mana ada permintaan kukuh, kita akan membinanya," katanya.

Sunway Group semalam mengumumkan 12 penyewa utama pusat beli belah Sunway Velocity Mall.

Mereka ialah Parkson; TGV Cinemas; Harvey Norman; Popular; Toys"R"Us; Home's Harmony and SB Furniture; Uniqlo; AEON MaxValu Prime; Grand Imperial Restaurant; JD; Chi-X; dan Padini Concept Store.

Chan berkata, 12 penyewa utama itu menguasai 40 peratus kawasan peruncitan di pusat beli belah itu.

Beliau berkata, Sunway Velocity Mall yang terletak di Cheras ketika ini menikmati kadar sewa 80 peratus dan dijangka meningkat kepada 90 peratus apabila dibuka pada 28 Oktober depan.

"Sunway Velocity Mall dijangka beroperasi dengan sewaan penuh pada akhir 2017," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bahagian Pembangunan Hartanah Sunway, Sarena Cheah, berkata pembangunan Sunway Velocity Mall sebahagian daripada inisiatif menyegarkan semua Cheras, menambah baik standard kehidupan dan mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada masyarakat.

"Sunway satu jenama kukuh. Kami bukan saja menawarkan pusat beli belah di Sunway Velocity, tetapi juga suite pejabat dan kedai, pangsapuri khidmat, hotel yang akan siap pada 2017 dan Sunway Medical Centre yang dijangka siap 2018," katanya.

571 dibaca
Berita Harian X