Rabu, 30 Ogos 2017 | 12:24pm

Sunway Iskandar perkenal Ecopolis

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah terkemuka negara, Sunway Property, baru-baru ini mendedahkan strategi bagi pembangunan lanjut Sunway Iskandar, perbandaran terbesarnya.

Pengarah Urusan Bahagian Hartanah bagi Malaysia dan Singapura Sunway Bhd, Sarena Cheah, berkata 2018 bakal menjadi tahun menarik bagi Sunway Iskandar berikutan ia memutuskan untuk meneruskan pelan induk bagi mewujudkan 'Nature's Capital City' premium di negara ini yang dilengkapi kemudahan bertaraf dunia di Sunway Iskandar.

"Tiga tahun lalu, apabila kami pertama kali datang ke Sunway Iskandar, kami menjanjikan untuk menanam benih komuniti di sini, bagi membantu memacu kemakmuran Iskandar Malaysia sebagai koridor pertumbuhan ekonomi paling menarik ASEAN.

"Sejak itu, kami menepati janji dan bersedia memulakan lembaran baharu pertumbuhan bagi Sunway Iskandar," katanya dalam satu kenyataan.

Sarena berkata, selari komitmen Sunway Group terhadap kelestarian, pihaknya bercadang mengukuhkan kehadiran syarikat di bawah dua tonggak utama, iaitu inovasi yang dipacu pasaran dan perbandaran berpaksikan perkhidmatan kepada komuniti.

Katanya, ia bertujuan memacu suasana yang sesuai didiami dan sebagai penghubung komuniti terbaik.

Beliau berkata, ia adalah teras yang menyumbang kejayaan Sunway City di Kuala Lumpur, yang hari ini adakah pemacu ekonomi bagi Lembah Klang, satu transformasi daripada sebuah lombong tinggal sebelum ini kepada perbandaran yang dilawati 42 juta orang setiap tahun dengan penduduk seramai 200,000 orang dan 35,000 penuntut.

"Sasaran di sini ialah menjadikan Sunway Iskandar sebuah ecopolis bertaraf dunia di Iskandar Malaysia, dengan memperkenalkan konsep pertama yang menambah nilai kelestarian kepada semua pihak berkepentingan dalam komuniti kita," katanya.

Beliau berkata, dengan pelancaran pembangunan bernilai RM1.1 bilion dalam tempoh tiga tahun sebelum ini, Sunway akan membawa masuk inovasi dipacu pasaran dan asas yang berpaksikan perkhidmatan kepada komuniti dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, ia akan menyumbang ke arah pertumbuhan menyeluruh Sunway Iskandar.

247 dibaca
Berita Harian X