Isnin, 31 Julai 2017 | 10:29am

WMG Holding catat premium awal 2 sen

KUALA LUMPUR: WMG Holdings Bhd, pemaju hartanah berpangkalan di Sabah, mencatat premium awal dua sen sempena penyenaraian sulungnya di Bursa Malaysia pagi ini.

WMG Holding dibuka pada harga 50 sen seunit berbanding harga rujukan 48 sen, menyaksikan 40,000 unit saham bertukar tangan.

Mengulas harga pembukaan itu, Pengarah Urusannya, Quek Siew Hau, berkata penyenaraian itu tepat pada waktunya.

"Bukan saja ia membolehkan syarikat memanfaatkan pasaran modal bagi pembelian tanah baharu pada masa depan, tetapi ia juga meningkatkan profil syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis penyenaraian saham syarikat itu di sini.

Penyenaraian WMG Holdings di Pasaran Utama bursa tempatan itu susulan kejayaan pengambilalihan berbalik penyenaraian Tekala Corporation Bhd.

Projek semasa WMG Holdings termasuk Sejati Walk, Mydin Hypermarket dan Sri Indah Kondominium di Sandakan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM445.1 juta.

Siew Hau berkata, WMG Holdings bercadang melancarkan projek hartanah bernilai lebih RM1.3 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Cadangan projek hartanah itu membabitkan kawasan seluas 17.65 hektar di Sabah, merangkumi kedua-dua projek hartanah kediaman dan komersial.

333 dibaca
Berita Harian X