Jumaat, 14 Julai 2017 | 3:31pm

SPNB bina kediaman FELDA guna AGIBS


KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Ahmad Azizi Ali (dua dari kiri) semasa pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) untuk membangunkan rumah mampu milik dengan Pengarah Urusan Ajiya Berhad, Datuk Chan Wah Kiang (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MOU itu antara SPNB dan Aijya Berhad di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan mula membina 20,000 unit kediaman di bawah Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA menggunakan Ajiya Green Integrated Building Solutions (AGIBS) menjelang hujung tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Azizi Ali, berkata projek dengan nilai pembangunan kasar RM2.8 bilion itu akan dibangunkan dalam tiga fasa dan akan bermula di Terengganu.

"Pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam projek kami akan menambah baik penghantaran produk kepada pengguna, menambah baik persekitaran lestari selain kualiti produk pembangunan," katanya kepada pemberita selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPNB dan Ajiya Bhd di sini, hari ini.

AGIBS yang dibangunkan Ajiya adalah IBS yang dipaten menyediakan industri pembinaan dengan penyelesaian pembinaan bersepadu dan mapan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja, memendekkan tempoh pembinaan dan mengurangkan kos operasi.

AGIBS meliputi antara empat hingga lapan siri komponen kediaman.

Ia terdiri daripada bingkai dinding logam ringan, bumbung togam dan sengkuap, rangka bumbung logam ringan, pintu logam dan bingkai tingkap, dek lantai struktur logam, siling logam logam, pelindung matahari dan kaca keselamatan serta Sash.

217 dibaca
Berita Harian X