Khamis, 11 Oktober 2018 | 2:29pm

Yamaha YZF-R25 2019 ke Malaysia tahun depan

JAKARTA: Yamaha Motor Co Ltd melancar model motosikal popular YZF R25 terbaharu yang dinaiktaraf dengan rupa bentuk lebih segar dan sporty, sekali gus diyakini mengukuhkan lagi dominasi Yamaha dalam kategori motosikal 250cc.

Yamaha YZF-R25 2019 dijangka dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada separuh pertama tahun hadapan oleh Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) dan difahamkan harganya tidak banyak berbeza atau mungkin lebih sedikit berbanding model semasa.

Model yang diperbaharui dengan penampilan lebih agresif dengan Lampu LED dan bentuk badan lebih tajam itu, dilancarkan serentak ke seluruh dunia dengan satu lagi model untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) iaitu YZF-R3 sempena majlis Ulang Tahun Ke-20 Siri R-1 yang diadakan di sini hari ini.

Mengulas perkembangan itu, Presiden Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif PT Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM), Minoru Marimoto, kedua-dua model baharu itu akan dikeluarkan di kilang milik Yamaha di Indonesia.

“YIMM ada pengeluar tunggal R25 dan R3 sejak pertama kali ia dipasarkan pada 2014, kami memenuhi sistem piawaian pengeluaran dan kawalan kualiti Yamaha yang menyeluruh bagi menghasilkan produk berkualiti bagi dipasarkan ke seluruh dunia termasuk AS, Eropah dan Jepun,” katanya pada majlis pelancaran berkenaan.

Katanya, model R25 dan R3 tampil dengan tema reka bentuk “Supersport Design” inspirasi daripada model berprestasi tinggi R1 dan R6 dan dibangukan konsep produk “Ride the R Anytime!”.

Sekilas pandang reka bentuk bahagian hadapannya R25 sememang mirip ‘abangnya’ R6 dengan bentuk lampu yang meruncing, manakala lubang aliran udara di bahagian tengahnya mengingatkan garis rekaan model supersport R1.

Berbanding dengan model sebelumnya, bentuk tangki pada R25 baharu lebih lekuk dengan posisi tempat duduk penunggang yang sporty.

Fairing hadapannya juga lebih rendah. Paling jelas perbezaan pada model terbaharu adalah suspensi hadapannya yang terbalik berbanding teleskopik pada yang terdahulu.

Ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh peminat R25 kerana kelebihan ciri sebegini adalah ia lebih stabil ketika ditunggang pada kelajuan tinggi, selain tampak lebih elegan.

Walaupun enjinnya pada model terbaharu ini menyamai pada semasa, namun Yamaha berkata, rekaan fairing yang lebih tajam dengan lubang aliran angin rekaan terkini mampu menambah kelajuan kira-kira 8 kilometer sejam daripada kelajuan model semasa.

YZF-R25 yang dilengkapi 249cc sejukan cecair; 4-strok 2-silinder sebaris DOHC dan 8-injap dengan piston aluminium ringan bagi menghasilkan pecutan yang lancar dan kuasa yang mudah dikawal.

Spesifikasi:

Enjin: 4-strok sejukan cecair, DOHC, suntikan bahan bakar

Kluc: Basah multiplat

Transmisi: 6-kelajuanKuasa: 26,5kW/12000rpm

Tork: 22.6Nm/10000rpm

Ketinggian: 780mm

Berat: 166 kg

Kapasiti tangki: 14 Liter

1455 dibaca
Berita Harian X