Isnin, 14 Mei 2018 | 2:27pm
MAJLIS pelancaran Nissan Serena 2.0L S-Hybrid oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) di sini, hari ini . - Foto Mahzir Mat Isa

ETCM sasar jual 500 unit sebulan Nissan Serena

PETALING JAYA: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar dan pemasang tunggal kenderaan jenama Nissan di negara ini menyasarkan jualan sebanyak 500 unit sebulan untuk model serba baharu Nissan Serena 2.0L S-Hybrid.

Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Christoper Tan, berkata kenderaan pelbagai guna (MPV) generasi kelima itu juga menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dan teknologi moden untuk kemudahan keseluruhan penumpang.

"Sehingga kini sebanyak 1,300 unit tempahan sudah diterima dan dengan rekaan yang lebih sporty, ruang dalaman yang fleksibel termasuk 13 konfigurasi tujuh tempat duduk serta teknologi Nissan Intelligent Mobility (NIM), kami menjangkakan sambutan positif daripada pelanggan," katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Nissan Serena S-Hybrid mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2013 dan Malaysia adalah negara pertama yang memasang model ini selain Jepun.

Ia kini dilengkapi ciri luaran seperti gril hadapan V-Motion, lampu utama dua lapisan dan signatur daripada LED, reka bentuk bumbung 'terapung' serta lampu belakang dengan bentuk S yang menawan.

Model baharu itu juga dilengkapi ciri keselamatan terbaik seperti enam beg udara SRS, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek (BA) dan ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.

Ia mengekalkan enjin 2.0L Kawalan Pemasaan Injap-Pemboleh Ubah Berterusan (CVTC) dengan kotak gear Xtronic (CVT) serta Kawalan Syif Adaptif, berupaya menjana kuasa 150PS dan daya kilas maksimum 200Nm mencatatkan penggunaan bahan api efisien 14.2 kilometer seliter (km/l).

Nissan Serena 2.0L S-Hybrid ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium Highway Star dan Highway Star dijual pada harga RM147,500 dan RM135,500 (Harga atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Sementara itu, menyentuh mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dimansuhkan oleh kepimpinan kerajaan baharu dan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Tan menjangkakan akan ada perubahan harga untuk jualan kenderaan baharu.

"Kami di ETCM yakin industri automotif di negara akan terus positif dan berharap cukai SST yang bakal dilaksanakan akan memberi kelebihan buat pengguna dan rakyat di negara ini untuk memacu ekonomi yang lebih baik," katanya.

554 dibaca
Berita Harian X