Ahad, 11 March 2018 | 3:59pm
DATUK Madani Sahari. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Bukti keupayaan syarikat automotif tempatan

KUALA LUMPUR: Pakatan strategik Groupe PSA dan Naza Corporation Holdings (Naza Group) yang dimuktamadkan baru-baru ini membuktikan keupayaan sebenar syarikat tempatan sehingga menarik minat gergasi automotif asing untuk menjalinkan sinergi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari, berkata perkembangan terbaharu bakal memberi impak besar kepada industri automotif dan ekonomi Malaysia.

Katanya, selepas perkongsian strategik antara Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Daihatsu Motor Co memberikan hasil yang sangat memberangsangkan, pakatan Groupe PSA-Naza Group juga bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan sihat ekosistem automotif.

"Pakatan strategik adalah suatu perkara sudah menjadi amalan biasa di kalangan syarikat automotif global. Perkongsian strategik seperti Peugeot-Citroen, Kia-Hyundai dan Nissan-Renault adalah contoh perkongsian strategik yang berjaya dan menjadikan mereka gergasi automotif dunia.

"Syarikat automotif tempatan semakin mendapat perhatian syarikat global. Ini dapat dilihat apabila Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) memeterai perkongsian strategik dengan DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) untuk membeli pegangan 49.9 peratus dalam Proton Holdings Bhd (PROTON).

"Semestinya, perkongsian Groupe PSA-Naza Group membuktikan keupayaan syarikat tempatan dalam pengeluaran kereta.

"Kedua-dua pihak kini membuka peluang baharu dalam meluaskan pasaran eksport kenderaan yang dihasilkan dalam negara ke peringkat ASEAN serta Asia Pasifik," katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini, Groupe PSA dari Perancis membeli 56 peratus kepentingan operasi perniagaan kilang Pembuatan Automotif Naza (NAM) di Gurun, Kedah.

Pengambilalihan kepentingan majoriti dalam operasi kilang kereta milik Naza Group itu bakal menyaksikan Malaysia menjadi hab pengeluaran kenderaan jenama Peugeot dan Citroen untuk pasaran ASEAN.

Madani berkata, perkongsian Groupe PSA-Naza Group juga membuka peluang baharu kepada vendor dan pengedar tempatan meluaskan perniagaan ke pasaran eksport.

"Paling utama, perkongsian ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan baharu di kawasan utara tanah air. Pembangunan kawasan industri automotif di Gurun diharap menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor automotif di kawasan ini, seterusnya membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat tempatan di utara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad, berkata pakatan Groupe PSA-Naza Group tidak hanya baik untuk industri automotif, malah bakal memberi impak kepada ekonomi Malaysia.

Katanya, pemindahan teknologi daripada Groupe PSA kepada Naza Group juga bakal menjadi perkembangan sihat di mana ia dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan.

"Seperti yang kita tahu, pasaran automotif Malaysia sebenarnya sudah matang. Jadi, dengan perkongsian strategik, syarikat tempatan dapat meneroka peluang pasaran luar negara untuk mengembangkan portfolio mereka menerusi jenama kenderaan terkemuka," katanya.

396 dibaca
Berita Harian X