Khamis, 8 March 2018 | 7:00am
PRESTASI sukar digugat, pengendalian terbaik.

Audi A4 2.0 TFSI quattro lepasi jangkauan

AUDI, satu jenama mewah sporty dari Jerman yang tidak akan mengecewakan sesiapa sahaja yang memiliki apatah lagi memandu uji jentera yang sememangnya menawarkan keupayaan luar biasa dari segi prestasi dan pengendalian.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji Audi A4 2.0 TFSI quattro, sedan berprestasi tinggi yang semestinya menerbitkan keterujaan sepanjang berada di dalam jentera ini.

Sedan serba baharu yang hadir bersama enjin 2.0 TFSI ini, menggabungkan penampilan estetik yang agresif, enjin atletik dan teknologi tercanggih, sekali gus menjadikannya sebagai model Audi paling laris sepanjang zaman ini.

A4 adalah model yang sangat penting untuk jenama Audi kerana popularitinya membuatkan jentera ini sebagai model terbaik di hampir semua pasaran di seluruh dunia.

Kehadiran A4, membuatkan ramai teruja di mana ia lebih ringan, lincah, berkuasa, seronok dipandu dan menjimatkan bahan api.

Jentera ini juga sarat dengan teknologi dan ciri terbaru, namun lebih mudah digunakan berbanding sebelumnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan Audi A4 serba baharu sememangnya mengagumkan.

Paling laris

Mula diperkenalkan pada 1972 sebagai Audi 80, Audi A4 menandakan bermulanya penyertaan Audi ke dalam segmen kereta premium.


POPULARITI produk Audi ini menjadikannya model terbaik di hampir semua pasaran dunia. - Foto Yazit Razali

Selepas lapan generasi dan hampir 40 tahun kemudian, Audi A4 terus membuktikan pemikiran progresif dan kejuruteraan inovatif Audi yang boleh diakses dan pada masa yang sama begitu revolusionari.

Sudah memasuki generasi kesembilan, Audi A4 dilihat terus menetapkan penanda aras di dalam kelasnya.

Komitmen Audi terhadap falsafah pembinaan kenderaan yang maju dan cantik dapat dilihat dengan jelas pada Audi A4 serba baharu.

Ia menampilkan perkadaran yang seimbang dan harmoni, bersama elemen reka bentuk yang penuh fungsi serta sporty.

Bahagian hadapan Audi A4 hadir dengan kerangka yang lebar di mana karakternya nyata menyerlah dengan garis horizontal dan didominasi oleh gril signatur Audi, Singleframe bersama lampu utama LED yang tersendiri.

Garis bahu yang tepat dan maskular menjalar di seluruh kenderaan memberikannya penampilan yang atletik dan lebih panjang.

Apatah lagi apabila dipadankan dengan rim aloi lima jejari selari bersaiz 17 inci.

Di bahagian belakang pula, lampu LED didatangkan dengan indikator dinamik sebagai satu ciri standard, sekali gus memberikan impresi yang menawan ketika ia dipandu pergi atau tiba di satu-satu lokasi.

Selain menjadi sebuah kereta serba boleh yang lebih besar dengan 25mm lebih panjang dan 16mm lebih lebar, Audi A4 bagaimanapun 120 kilogram lebih ringan berbanding model terdahulu.

Ini adalah hasil gabungan bijak di antara reka bentuk dan material yang ringan, menjadikannya kenderaan paling ringan dalam kelasnya.

Cermin sisi Audi A4 kini diletakkan di atas bahu kereta dan bukannya pada tiang A, memberikannya gaya lebih sporty yang sebelum ini hanya boleh dilihat pada model Audi TT dan R8.

Ia juga meningkatkan aspek aerodinamik dengan catatan pekali seretan hanya 0.23 yang mendahului kelasnya.

Penambahbaikan dari segi aerodinamik serta beberapa ciri rekaan lain seperti garis nipis untuk meningkatkan aliran udara pada cermin sisi, reka bentuk bootlid belakang, bahagian bawah enjin yang ditutup dan gandar belakang dinaikkan secara minimum memastikan Audi A4 serba baharu mampu menawarkan akustik yang terbaik dalam kelasnya.


KEJURUTERAAN terbaik Jerman.

Pantas, mempesona

Audi A4 2.0 TFSI serba baharu dilengkapi enjin empat silinder TFSI bersesaran 2.0 liter yang menawarkan lengkuk kuasa tork yang luas serta pecutan mengagumkan untuk pemanduan mengujakan pada setiap masa.

Dipadankan dengan kotak gear S tronic tujuh kelajuan, rangkaian kuasa ini mampu menjana kuasa mencecah 190 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 320Nm dari putaran enjin serendah 1,450 hingga 4,200rpm.

Ini membolehkan Audi A4 2.0 TFSI memecut dari 0-100 km/h dalam masa hanya 7.3 saat dengan kelajuan maksimum 240km/j.

Di sebalik prestasi yang sporty itu, Audi A4 2.0 TFSI tetap mampu mengekalkan penjimatan bahan api yang mendahului kelasnya. Gabungan penggunaan bahan api cuma 5.0 liter/100km dengan catatan emisi CO2 114g/km.

Menawarkan peningkatan ketara dari segi pemanduannya, Audi A4 bukan saja sporty dan berorientasikan kepada prestasi, malah ia juga selesa dan mudah dipandu berbanding model sebelumnya.

Dibina di atas platform MLB-Evo baharu yang turut digunakan pada model SUV Audi Q7, casis Audi A4 berfungsi secara harmoni dengan sistem stereng elektromekanikal dan suspensi adaptif lima sambungan bersama kawalan peredam untuk menyerap segala ketidaksempurnaan permukaan jalan raya.

Pada masa sama menjanjikan maklum balas pemanduan yang optimum. Sama seperti semua kenderaan Audi, ciri Audi drive select hadir sebagai satu ciri standard.

Ia membolehkan talaan suspensi, enjin dan rangkaian kuasa dibuat bagi disesuaikan dengan kecenderungan pemandu serta keadaan jalan raya.

Audi A4 juga dilengkapi pelbagai ciri elektronik demi menawarkan pengalaman pemanduan yang efisien dan selamat.

Ini termasuk sistem start/stop dengan janaan semula tenaga, Electronic Stabilisation Control (ESC), Traction Control (ASR), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Differential Lock (EDL), bantuan parkir dengan pilihan paparan, Sistem Brek Antikunci dan enam beg udara.


AUDI A4 2.0 TFSI quattro sarat teknologi dan ciri terbaru. - Foto Yazit Razali

Ruang kabin mewah, luas

Melangkah ke dalam kabin Audi A4 serba baharu, anda akan masuk ke dalam ruang luas, berteknologi tinggi yang bukan saja lebih besar, malah jauh lebih bagus buatannya dan selesa berbanding sebelum ini.

Bermula dengan kabin yang berpusat kepada pemandu, rekaan horizontal yang diserlahkan pada bahagian luar diteruskan ke ruang dalaman kenderaan bersama papan pemuka yang nipis dan seakan-akan terapung.

Ia diserlahkan lagi dengan kemasan Aluminum Ellipse dan corong pendingin hawa yang ada pada konsolnya.

Bahagian tengah papan pemuka dikuasakan dengan MMI(R) radio plus yang terdiri daripada skrin bersaiz 7 inci dan sistem bunyi Audi dengan amplifier 6 saluran serta 10 unit pembesar suara berkuasa 180 watt.

Di tempat duduk pemandu, Audi A4 serba baharu dilengkapi stereng tiga jejari muti-fungsi sporty yang dibalut kulit serta paddle shifter sebagai ciri standard.

Pelanggan juga boleh memilih sama ada dial analog standard yang digabungkan dengan TFT Audi Driver Information System (DIS) bersama paparan berwarna bersaiz tujuh inci atau kokpit maya Audi yang didatangkan bersama pakej Technology sebagai pilihan.

Ia akan menggantikan kluster intrumen standard yang terdiri daripada monitor TFT beresolusi tinggi bersaiz 12.3 inci dan boleh diubah suai sepenuhnya.

Monitor itu berfungsi memaparkan maklumat yang diperlukan dengan grafik terperinci agar lebih berfungsi dan mudah digunakan.


PAPAN pemuka Audi A4 2.0 TFSI Quatrro. - Foto Yazit Razali

Selesa, nyaman

Tempat duduk hadapan hadir bersama sokongan lumbar empat cara, manakala tempat duduk belakang pula boleh dilipat dengan konfigurasi 40:20:40 yang eksklusif dalam kelasnya.

Konfigurasi itu membolehkan ruang but ditingkatkan daripada 480 liter menjadi 965 liter.

Audi A4 2.0 TFSI serba baharu hadir dalam sepuluh warna: putih (Glacier White), perak (Floret Silver), merah (Matador Red), merah (Tango Red), coklat (Argus Brown), biru (Scuba Blue), kelabu (Monsoon Grey), kelabu (Manhattan Grey) dan hitam.

Sementara warna kelabu (Daytona Grey) mutiara ditawarkan untuk model yang dibeli bersama pakej S line.

Audi A4 2.0 TFSI serba baharu boleh didapati bermula 20 September di semua pengedar sah Audi di seluruh negara. Ia ditawarkan pada harga bermula RM248,900 seunit.

Ada dua pakej pilihan ditawarkan untuk Audi A4 2.0 TFSI, iaitu pakej S Line dan Technology.

Pakej S line yang sporty terdiri daripada bampar hadapan dan belakang yang agresif, rim aloi dengan reka bentuk lima jejari bintang berkembar bersaiz 18 inci, kemasan sil pintu beriluminasi bersama kemasan aluminium, tempat duduk sports dibalut kulit Alcantara berwarna hitam, stereng sport S line dibalut kulit serta pelbagi ciri sporty yang lain dengan tambahan RM25,000.

Pakej Technology yang mula ditawarkan tidak lama lagi pula merangkumi lampu utama LED Matrix bersama indikator dinamik pada bahagian hadapannya.

Selain MMI Navigation plus dengan papan sentuh MMI, kokpit maya Audi, antara muka telefon pintar Audi untuk Apple Carplay dan Android Auto, Audi Connect serta kamera undur.


AUDI A4 2.0 TFSI serba baharu dilengkapi enjin empat silinder TFSI bersesaran 2.0 liter yang menawarkan lengkuk kuasa tork yang luas serta pecutan mengagumkan. - Foto Yazit Razali

Info:
Audi A4 2.0 TFSI quattro

  • Harga bermula RM248,900
  • Enjin empat silinder TFSI 2.0 liter
  • Dipadankan dengan kotak gear S tronic 7-kelajuan
  • 190 hp dan tork maksimum 320Nm dari putaran enjin serendah 1,450 hingga 4,200rpm
481 dibaca
Berita Harian X