Sabtu, 3 March 2018 | 11:13am
ANTARA topi keledar yang dijual di LSH Racing World. - Foto Khairul Azhar Ahmad

AGV K-1 2018: Bergaya ala Rossi

MENCARI topi keledar yang mempunyai corak sama seperti topi keledar yang digunakan Pelumba MotoGP, Valentino Rossi, bukan sekadar sukar, tetapi menelan kos perbelanjaan yang tinggi.

Kebiasaannya, ia dijual secara edisi terhad yang mampu mencecah harga sehingga RM5,000. Mungkin ramai merasakan harga itu tidak berbaloi kerana masih terdapat pelbagai jenama lain yang menawarkan tahap perlindungan tinggi pada harga yang lebih rendah.

Justeru, AGV memperkenalkan keluaran topi keledar AGV K-1 Soleluna 2018 yang menampilkan corak sama, namun pada harga yang jauh lebih rendah.

Lebih murah berbanding jenama lain

Didatangkan dengan lapan corak warna, topi keledar 'full-face' terbabit dikatakan lebih murah berbanding jenama pesaingnya dan menjamin tahap perlindungan tinggi.

AGV K-1 2018 adalah topi keledar keluaran baharu AGV untuk tahun ini, yang disertakan teknologi terkini daripada model Corsa R, sekali gus bersesuaian bagi mereka yang inginkan reka bentuk sporty pada harga mampu milik.

Menariknya topi keledar itu, ia direka bentuk berasaskan ciri aerodinamik dan mempunyai 'spoiler' untuk memastikan aliran angin yang lebih mantap serta menjamin kestabilan ketika menunggang pada kelajuan tinggi.

Selain itu, ia juga disertakan sistem pengedaran udara pada bahagian atas dan dagu, skrin anti calar, dan penutup anti kabus serta mekanisma untuk memisahkan skrin tanpa penggunaan sebarang alatan iaitu XQRS (X-tra Quick Release System).


DIREKA bentuk berasaskan ciri aerodinamik dan mempunyai 'spoiler' untuk memastikan aliran angin yang lebih mantap. - Foto Khairul Azhar Ahmad

DIJUAL pada harga RM1,399. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Menjamin keselesaan

Di bahagian dalamannya pula, ia direka bentuk untuk memastikan kestabilan, dan dan bebas tekanan untuk menjamin keselesaan. Malah, bahagian dalamannya juga boleh dikeluarkan untuk dibasuh.

Apa yang menjadi tumpuan ialah, ia bukan sahaja menampilkan corak topi keledar Rossi, malah boleh didapati pada harga RM1,399, manakala AGV K-1 yang menggunakan warna biasa (hitam, putih dan matte black) hanya pada RM1,199.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai topi keledar berkenaan, boleh mengunjungi LSH Racing World di Jalan Solaris, Kuala Lumpur.

INFO
AGV K-1 2018

Corak (RM1,399)

- Soleluna

- EDGE

- Winter Test

- Flavum 46

- IANNONE

Warna biasa (Harga RM1,199)

- Hitam

- Putih

- Matte Black

454 dibaca
Berita Harian X