;
Rabu, 14 Februari 2018 | 7:00am
RENAULT Koleos 4WD... Penampilan mengagumkan, pengendalian terbaik.

Renault Koleos 4WD, SUV sempurna

PENAWARAN kenderaan utiliti sukan (SUV) varian terkini Renault oleh TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal untuk kenderaan Renault di Malaysia, iaitu pacuan empat roda (4WD) yang lebih versatil, meningkatkan tawaran dan pilihan kepada model daripada Perancis.

Versi 4WD SUV segmen D Renault yang premium ini ditawarkan pada harga jualan bermula dari RM209,000.

Varian Renault Koleos 4WD baharu menampilkan teknologi ALL-MODE 4x4-i, yang mana teknologi pacuan empat roda ini memantau tahap cengkaman secara berterusan untuk prestasi yang lebih dinamik, stabil dan selamat.

Satu lagi ciri baharu pada versi 4WD ini ialah pintu belakang bebas tangan yang membolehkan anda membuka but dengan hanya menggerakkan kaki pada bahagian bawah bampar belakang meskipun tangan anda penuh dengan barang dan Renault Smart Keycard berada di dalam poket atau beg tangan.

Tampil dengan gabungan rekaan SUV yang mantap, Koleos menggabungkan reka bentuk yang atletik, bersama pelbagai ciri dan kehalusan buatan yang sinonim dengan kereta premium.

Direka untuk memenuhi jangkaan pembeli SUV dari segi gaya, keselesaan dan keluasan ruang kabin, Koleos memang sesuai untuk diposisikan dalam rangkaian model premium Renault.


SEMPURNA dari segi rekaan, gaya dan kuasa. - Foto Supian Ahmad

Teknologi terbukti

ALL-MODE 4x4-i pada varian Renault Koleos 4WD ialah teknologi yang sudah terbukti dan digunakan ke atas jutaan kenderaan Pakatan Renault-Nissan di seluruh dunia.

Sistem itu terdiri daripada suis kawalan yang mudah digunakan. Ia membolehkan pemandu untuk memilih tiga mod - 2WD, 4WD Auto dan 4WD Lock - dengan setiap mod ini mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan kepada keadaan pemanduan.

Dalam mod 2WD, Koleos bergerak dengan pacuan roda hadapan untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api di mana mod ini sangat sesuai pemanduan normal.

Dalam mod 4WD Auto, teknologi ALL-MODE 4x4-i akan sentiasa memantau pecutan longitudinal dan lateral, selain kadar rewang (yaw) dan sudut stereng.

Berdasarkan kepada maklumat ini, sistem akan mengira agihan kuasa tork hadapan/belakang yang ideal (daripada 100/0 kepada 50/50) untuk menawarkan cengkaman paling efisien bagi mengelakkan berlakunya masalah understeer dan oversteer.

Apabila mengharung laluan off-road atau dalam keadaan di mana cengkaman amat diperlukan, seperti di atas lumpur dan pasir, mod 4WD Lock membolehkan pemandu menggunakan pacuan empat roda pada kelajuan kurang 40 kilometer sejam (km/j) untuk mengagihkan kuasa tork yang sama kepada gandar hadapan dan belakang (50/50) bagi kestabilan maksimum.

Koleos hadir dengan rangkaian kuasa dan teknologi Renault yang sudah terbukti dengan enjin petrol penuh kuasa bersesaran 2.5 liter itu dipadankan dengan transmisi automatik X-Tronic CVT untuk prestasi lebih baik, pemanduan menyeronokkan dan penggunaan bahan api yang optimum.

Enjin yang efisien ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 171 PS dan tork puncak 226 Nm dan ia sangat responsif pada putaran enjin rendah dan sederhana, dengan 200Nm tork boleh diperoleh pada serendah 1,800rpm.


KOLEOS dilengkapi sistem multimedia R-LINK 2 yang bertindak sebagai satu pusat kawalan bersepadu untuk koordinasi pelbagai fungsi. - Foto Supian Ahmad

Buatan halus

Varian Renault Koleos 4WD menawarkan ruang kabin luar biasa, rangkaian peralatan canggih yang ekstensif dan perincian demi menawarkan segala yang diharapkan pada SUV segmen D premium.

Ruang dalaman dan ruang dalaman mewah yang mendahului kelasnya untuk keselesaan terbaik serta pemanduan meyakinkan.

Tapak roda 2,705 milimeter (mm) untuk panjang keseluruhan kenderaan 4,672mm, disifatkan sebagai yang terpanjang dalam kelasnya.

Ia membolehkan Renault Koleos menawarkan ruang kabin paling luas.

Tempat duduk hadapan Renault Koleos ialah antara yang paling selesa dengan dimensi terbesar dalam kelasnya, di mana penumpang belakang pula disediakan dengan ruang lutut seluas 289mm.

Ruang but seluas 542 liter menampilkan lantai yang boleh dialih dan diposisikan sama tinggi dengan but, seterusnya membentuk lantai yang rata.

Sistem Easy Break dengan handal dipasang pada bahagian but membolehkan tempat duduk belakang dilipat pada kongurasi 60/40 dengan mudah, sekali gus dapat menawarkan kapasiti ruang sehingga 1,690 liter.

Ada juga ruang penyimpanan barang tambahan seluas 35 liter di sekeliling kabin Renault Koleos. Ini termasuk glove box berkapasiti 11 liter dan satu ruang tujuh liter untuk meletak minuman di konsol tengah.

Posisi pemanduan yang tinggi, 150mm lebih tinggi berbanding sedan tradisional menawarkan tahap pandangan terbaik dan sangat dihargai oleh pembeli SUV.

Papan pemuka yang tinggi dan lebar memberikan rasa kukuh serta perlindungan kepada pemandu dan penumpang.

Perhatian khusus juga diberikan kepada perincian paling kecil dengan pilihan yang luas dan material premium. Misalnya krom kemasan satin yang bergaya pada stereng, tuil gear dan corong pendingin hawa.

Konsol tengah juga dibalut dengan lapisan filem perlindungan yang keras dan sedap disentuh. Material lembut pada papan pemuka dan panel pintu juga menyumbang kepada ambien kabin yang menenangkan.

Upholsteri kulit berwarna hitam dan perehat tangan dengan kemasan kulit diberikan jahitan benang yang kontras untuk melengkapkan rasa serta penampilan yang premium.

Keselesaan ketika pemanduan ditingkatkan lagi dengan lampu kabin LED yang boleh diubah suai, bersama satu palet warna daripada hijau, biru, kuning, merah atau ungu, bergantung kepada mood pemandu dan penumpangnya.


KABIN yang luas, selesa dan mewah menyerlahkan keunikan Koleos. - Foto Supian Ahmad

Segala luar biasa

Koleos dilengkapi sistem multimedia R-LINK 2 yang bertindak sebagai satu pusat kawalan bersepadu untuk koordinasi pelbagai fungsi dengan mudah membabitkan infotainmen, navigasi, telefon bebas tangan, radio dan sistem bantuan pemandu.

Ciri utamanya termasuk skrin format potret bersaiz 8.7 inci, fungsi skrin sentuh seperti tablet peribadi, paparan navigasi yang realistik dengan bangunan berbentuk 3D, ketersambungan dan pilihan mengecaj termasuklah Bluetooth(R) untuk menggunakan telefon secara bebas tangan dan penstriman audio, satu port USB, satu soket jack 3.5mm, satu sumber kuasa 12V dan satu slot kad SD serta pengecaman suara untuk telefon.

Renault Koleos 4WD juga hadir dengan inovasi dan ciri standard seperti talaan tempat duduk pemandu enam cara, tempat duduk pemandu dengan lumbar kuasa boleh diubah suai, cermin pandang belakang anti-silau automatik, kemasukan tanpa kunci dengan ciri kunci 'walk away' automatik, pengelap cermin dan lampu utama automatik, brek parkir elektronik, empat port USB serta ruang meletak minuman yang sejuk


JENTERA terbaik untuk penuhi cita rasa tinggi. - Foto Supian Ahmad

Info:
Renault Koleos 4WD

  • Harga jualan bermula RM209,000
  • Enjin petrol 2.5 liter
  • Transmisi automatik X-Tronic CVT
  • 171 PS dan tork puncak 226 Nm
448 dibaca
Berita Harian X