Selasa, 13 Februari 2018 | 7:00am
X-Trail X-Tremer.

X-Trail X-Tremer masuk pasaran tempatan

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar eksklusif kenderaan Nissan di Malaysia, baru-baru ini melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) X-Trail terbarunya, X-Trail X-Tremer di pasaran tempatan.

SUV terbaru itu menerima padanan warna passion red baharu bersama komponen yang digelapkan termasuk bumbung dan siluet hitam baharu, rel bumbung hitam, spoiler belakang, cermin sisi hitam dan rim aloi lima jejari bersaiz 17 inci.

Malah, ia turut menyerlahkan lagi identitinya menerusi kemasan X-Face pada bahagian depannya. Selain itu, X-Trail X-Tremer juga dipasang dengan pelindung bampar belakang berwarna krom yang baharu dan tempat duduk kulit Nappa hitam yang memperlihatkan elemen serba mewah.

Dilengkapi teknologi canggih

Lebih menarik, SUV itu dilengkapi teknologi canggih Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi Intelligent Around View Monitor untuk perspektif pandangan 360 darjah bagi memudahkan proses parkir dan navigasi.

Intelligent Ride Control menjamin kawalan mantap khususnya ketika melalui kawasan permukaan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek, sekali gus meningkatkan keselesaan pemanduan.

Selain itu, Intelligent Trace Control yang ciri baharu diperkenalkan pada Nissan, berfungsi untuk mengurangkan masalah 'undertseer' menerusi tekanan brek sedikit ke atas roda.

Intelligent 4X4 system (4X4-i) pula menawarkan pilihan mod tetap 2WD, Auto Mode (mod 2WD dan 4WD) atau Lock Mode (pacuan semua roda sepanjang masa) untuk keseronokan pemanduan yang ekstrem dan lebih selamat, walaupun di atas jalan tidak rata.

Tawar dua varian

Ditawarkan menerusi dua varian iaitu 2.0L (2WD) dan 2.5L (4X4-i), ia masing-masing dijual pada harga RM141,450 dan RM163,650 serta hadir bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan tanpa had.

Dalam pada itu, aksesori yang dipasang dari kilang didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km.

Sementara itu, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, ETCM menawarkan peluang untuk memenangi sebuah Nissan Teana 2.5L XV pada setiap bulan bermula Januari hingga Mac 2018, AirAsia Big Points atau perkakasan elektrik Hitachi bernilai hampir RM600,000 menerusi setiap pembelian Nissan baharu.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Nissan di www.nissan.com.my atau pandu uji di mana-mana bilik pameran Nissan di seluruh negara.

INFO

  • Harga X-Trail X-Tremer
  • Semenanjung: RM141,450 (2.0L 2WD), RM163,650 (2.5L 4x4-i)
  • Sabah dan Sarawak: RM143,400 (2.0L 2WD), RM165,750 (2.5L 4x4-i)
  • Langkawi: RM102,200 (2.0L 2WD), RM116,850(2.5L 4x4-i)
  • Labuan: RM102,850 (2.0L 2WD), RM117,500 (2.5L 4x4-i)
795 dibaca
Berita Harian X