Sabtu, 13 Januari 2018 | 3:30pm
RAJA kompak diyakini kekal model pilihan rakyat Malaysia. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pelaburan miliki Myvi berbaloi

SEBUT saja Myvi, pasti ramai akan memberi maklum balas 'A' kerana kereta kompak buatan Malaysia keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) itu berjaya memenangi hati rakyat sejak tahun 2005.

Dengan pengenalan model generasi ketiga yang tampil dengan semua kelainan, ia diyakini akan terus mengekalkan gelaran 'raja' kompak di negara ini.

Faktor utama bagi Myvi baharu untuk kekal menjuarai hati rakyat, sudah semestinya harganya kerana lima varian yang ditawarkan dengan harga yang 'menawan' iaitu dari RM44,300 hingga RM55,300.

Malah, rakyat juga pasti bangga kerana penghasilan model Myvi baharu itu mendapat sentuh anak tempatan. Maka, stigma mengatakan Myvi adalah jelmaan model Daihatsu kini 'terhapus' sama sekali.

Apa tidaknya, tidak hanya rekaannya dihasilkan anak tempatan, malah enjinnya juga dibangunkan PERODUA di kilang Daihatsu Perodua Engine Manufacturing (DPEM) di Sendayan, Negeri Sembilan.

Pasukan kejuruteraan PERODUA sudah tentu mahu menghasilkan Myvi yang akan diingati sebagai model kompak paling utama di Malaysia, seterusnya meninggalkan kesan mendalam dalam hati rakyat.


MYVI diyakini kekal model pilihan rakyat Malaysia. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pandu uji mengujakan

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji Myvi 1.5 Advance baharu selama lima hari bagi menentukan bagaimana prestasi kereta kompak buatan Malaysia itu.

Sebenarnya, Myvi memberi kesan besar kerana penulis juga memiliki sebuah Myvi 1.3 SE keluaran tahun 2008 dan sehingga kini ia kekal milik penulis.

Sudah pasti, peluang memandu uji Myvi baharu membuatkan penulis terasa berkobar-kobar kerana Myvi SE lama milik penulis juga tidaklah banyak ragam terutama dari segi enjin meskipun sudah digunakan lebih sembilan tahun.

Cuma keterujaan penulis terarah dari segi rekaan luarannya yang kelihatan sedikit kecil berbanding yang dimiliki penulis, tetapi ia lebih 'solid', sekali gus menjadikannya satu transformasi untuk menawarkan model yang mampu meragut hati sesiapa yang meminati kenderaan keluaran PERODUA.

Model serba baharu itu menawarkan teknologi, rekaan berjiwa muda, ruang versatil, dan keselamatan pintar.

Apabila menyentuh elemen jiwa muda, pada pandangan penulis ia amat bertepatan dan mereka yang berusia seharusnya tidak perlu khuatir kerana anda juga boleh memilikinya.

Menyentuh penggunaan rangkaian kuasa, Myvi baharu menggunakan enjin 1.5 liter Dual VVT-i DOHC dengan kotak gear empat kelajuan automatik yang menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV), menawarkan penjimatan bahan api terbaik.

Dengan jentera sedemikian, ia mampu menghambur kuasa 76 kW (102 hp) pada 6,000 rpm dan 136 Nm pada 4,200 rpm.


DIKUASAKAN enjin 1.5 liter Dual VVT-i DOHC. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pemanduan lancar

Kuasa yang dimiliki membuatkannya terasa sangat lancar dan mudah untuk bergerak dari kedudukan pegun dan dalam kedudukan gear rendah.

Dari segi rekaan luaran, Myvi baharu mempunyai binaan dimensi 3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar, 1,515 mm tinggi dengan jarak antara roda ialah 2,500 mm.

Dengan dimesi itu, ia menjadikan Myvi baharu 210 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah berbanding versi yang sebelumnya, manakala jarak antara roda pula bertambah sebanyak 40 mm.

Menambahkan lagi 'keranggiannya' adalah padanan lampu hadapan dan belakang LED dengan fungsi 'auto-off' dan 'follow me home' menjadikan ia seakan-akan sebuah kereta premium.

Myvi 1.5 Advance didatangkan dengan rim aloi dua tona bersaiz 15 inci selain 'skirt' sisi, bampar belakang dua tona termasuk spoiler selain antena sirip menjadikan ia lebih sporty.

Model terbaru itu juga hadir dengan keluasan ruang barangan 277 liter, manakala keluasan maksimum yang boleh dicapai pula ialah 832 liter apabila kedudukan kerusi dijatuhkan.

Menjengah ke ruang dalaman ,Myvi baharu itu menggunakan sistem kemasukan tanpa kunci dan butang tekan mula (Push-Start).

Pendingin hawa larasan digital boleh ditetapkan dalam dua mod memori.

Kerusi kulit hadapan dengan kemasan jahitan merah dan putih selesa untuk pemandu serta penumpang.

Sistem multimedia 'Smart Link' dengan sambungan Bluetooth dilengkapi paparan kamera undur selain Pengesan Kedudukan Global (GPS) antara ciri premium yang datang bersama varian itu.

Bagi mereka yang mahu mengecas gajet dan telefon bimbit, tiga saluran USB sangat praktikal kerana bagi keluarga tentu saja memiliki lebih daripada tiga gajet.

Penyangkut beg tangan anti kecurian pada kerusi penumpang hadapan amat berguna terutama kepada pemandu wanita.


MYVI baharu adalah kereta kompak berciri premium pada harga mampu milik. - Foto Supian Ahmad


MYVI Advance 1.5 baharu. - Foto Supian Ahmad

Ciri premium

Panel meter dilengkapi paparan pelbagai maklumat LCD dengan lingkaran biru pada ruang analog manakala roda stereng balutan kulit boleh laras dengan butang fungsi sambungan telefon serta audio.

Perlu dipuji, satu lagi juga ciri unik yang diperkenalkan kali ini iaitu pembaca imbasan bayaran tol yang sama seperti Smart Tag yang siap dipasang terus di bahagian bawah sebelah kanan papan pemuka pemandu.

Bagi penulis, ciri ini adalah pertama kali diperkenalkan untuk sebuah kereta nasional.

Dari aspek keselamatan, Myvi baharu itu dilengkapi Sistem Brek Antikunci (ABS) dengan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) serta enam beg udara.

Perbezaan varian ini dengan model lain adalah teknologi Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) yang kali pertama diperkenalkan membolehkan Amaran Prapelanggaran (Pre-Collision Warning) diberikan kepada pemandu supaya tindakan pencegahan segera dapat dilakukan.

Sementara itu, fungsi Brek Prapelanggaran (Pre-Collision Braking) membantu memberhentikan kenderaan dengan membrek secara automatik jika pemandu gagal menekan pedal brek manakala Peringatan Bergerak ke Depan (Front Departure Alert) memberi amaran kepada pemandu bahawa kenderaan hadapan sudah bergerak terutama ketika kesesakan jalan raya.

ASA didatangkan dengan Kawalan Kegagalan Pedal (Pedal Misoperation Control) yang sangat komprehensif untuk menghalang pergerakan kereta jika pemandu secara tidak sengaja tertukar transmisi mengundur kepada 'D'.

Sistem canggih untuk sebuah kereta mampu milik ini akan diaktifkan sekiranya ada halangan di hadapan seperti dinding atau tembok.

Dari segi pemanduan, Myvi 1.5 Advance ini sangat praktikal di mana pada kelajuan 170 km/j, tiada getaran pada stereng dan ia bergerak sangat lancar.

Ketika mengambil selekoh pula, penulis tidak merasakan sebarang masalah.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat Myvi baharu ini amat berbaloi dimiliki kerana ia adalah kompak berciri premium pada harga mampu milik.


MYVI Advance 1.5 baharu. - Foto Supian Ahmad

Info:
Perodua Myvi 1.5 Advance

  • Harga atas jalan tanpa insurans RM55,300
  • Enjin 1,496 cc DOHC empat silinder, Dual VVT-i
  • Transmisi empat kelajuan automatik
  • 102 hp @ 6,000 rpm
  • Tork 136Nm @ 4,200 rpm
  • Kapasiti bahan api 36 liter
  • Ciri keselamatan: Enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Signal Berhenti Kecemasan (ESS) dan ISOFIX
2993 dibaca
Berita Harian X