Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:00am
PESERTA diberi penerangan cara mengendalikan motosikal pada program KSRR yang diadakan di Sepang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kawasaki lancar kursus menunggang

KAWASAKI Motors Malaysia Sdn Bhd (Kawasaki) baru-baru ini melancarkan kursus Kawasaki Safety & Responsiblility Riding (KSRR) khususnya bagi pemilik motosikal jenama terkemuka itu untuk memberi pendedahan tentang aspek menunggang dengan selamat dan bertanggungjawab. 

   Program yang julung kalinya dianjurkan bersama Kawasaki Industries Ltd dan K-Tec Corporation itu bertujuan untuk menitikberatkan terhadap aspek keselamatan, sekali gus berusaha untuk mengurangkan jumlah kadar kemalangan membabitkan motosikal di negara ini.

   Pengerusi Eksekutif Kawasaki, Ahmad Faez Yahaya, berkata kursus itu juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan pemilik Kawasaki untuk mengendali jentera mereka menerusi latihan kemahiran fizikal dan mental bersesuaian dengan keadaan trafik di Malaysia.

   "Berdasarkan statistik sejak 2007 hingga 2016, sebanyak 73,954 jumlah kemalangan maut dicatatkan dan 63 peratus daripada jumlah itu merangkumi penunggang motosikal.

   "Laporan itu turut menyatakan 80 peratus daripada jumlah kemalangan maut berpunca daripada kecuaian," katanya pada sidang media KSSR, di Sepang, baru-baru ini.

Dilatih oleh jurulatih profesional

Beliau berkata, dengan adanya penganjuran program seperti itu, ia akan membantu menyebarkan kesedaran mengenai tahap keselamatan di jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal.

"Kajian menunjukkan, kebanyakkan kesalahan trafik yang dilakukan adalah menunggang melebih had kelajuan, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika menunggang dan menunggang di lorong kecemasan.

"Menerusi program ini, kita menyediakan pengajar yang menerima latihan dan diiktiraf oleh K-TEC dan Kawasaki bagi memastikan pelanggan menerima pengalaman dan meningkatkan kemahiran menunggang," katanya.

INFO
Kursus Kawasaki Safety & Responsiblility Riding (KSRR) 

  • Peserta perlu menunggang motosikal Kawasaki yang dimiliki
  • Dilatih oleh pengajar profesional
  • Bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya
  • Dianjurkan di Sepang International Kart Circuit
165 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »