;
Rabu, 10 Januari 2018 | 12:38pm
NAIB Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang Mercedes-Benz, Mark Raine.- Foto Yazit Razali

Mercedes-Benz jual 12,045 unit

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (Mercedes-Benz) mencatat satu lagi rekod jualan baharu apabila menjual 12,045 unit tahun lalu, lebih tinggi berbanding 11,779 unit tahun sebelumnya.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang Mercedes-Benz, Mark Raine, berkata ia pencapaian terbaik Mercedes-Benz memandangkan tiada jenama premium lain mencatat rekod terbaik seumpama itu di pasaran Malaysia.

"Dengan pencapaian jualan ini, jenama Mercedes-Benz mengekalkan penguasaan pasaran 2.3 peratus dalam pasaran automotif Malaysia.

"Mercedes-Benz juga kekal sebagai jenama nombor satu dalam segmen premium di Malaysia," katanya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Mercedes-Benz, Dr Claus Weidner.

Raine berkata, Jun menjadi bulan terbaik sepanjang penubuhan syarikat itu di Malaysia, apabila jenama itu merekodkan jualan 1,210 unit kenderaan.

Sepanjang tahun lalu, Mercedes-Benz berjaya menjual 7,041 unit limosin, 2,031 unit kompak, 2,599 unit SUV premium dan 374 unit kereta impian.

Mercedes-Benz sudah melancarkan 17 kenderaan baharu tahun lalu.

291 dibaca
Berita Harian X