Rabu, 27 Disember 2017 | 7:29am
Q60 dan siluet yang tajam menyerlahkan sifatnya sebagai sebuah sports coupe.

Q60 pamer kehebatan kereta sports terkini

SEBUT saja kereta sports yang menjadi pilihan hati, sudah pasti INFINITI Q60 bermain di fikiran kerana ia adalah sebuah kereta sports coupe premium yang menggabungkan reka bentuk anggun bersama prestasi dan dinamik mengagumkan.

Tidak sekadar itu, rekaan yang kemas dan maskulin menyerlahkan potensi prestasi Q60, ditambah pula dengan enjin pengecas turbo 2.0 liter memacu roda belakang, menjanjikan prestasi dan dinamik pemanduan yang terbaik.

Apa yang menarik mengenai model terbaharu INFINITI ini adalah, walaupun ia direka bentuk seperti kereta sports dengan hanya dua pintu, namun Q60 mempunyai lima tempat duduk.

Tempat duduk belakangnya juga memberikan keselesaan, tidak seperti kebanyakan kereta dari segmen yang sama sepertinya dengan ruang kaki yang agak luas, selain ruang kepala yang tidak terlalu rendah.

Q60 menggunakan falsafah reka bentuk utama INFINITI untuk menyerlahkan kuasa dinamiknya, sekali gus menggambarkan ekspresi visual berani mengenai prestasinya.

Ia menggabungkan ciri seperti gril dengan arca berkembar dan tiang C yang berbentuk sabit, - kelihatan sedikit ke hadapan dan menyerlahkan kualiti dinamik jentera ini - memastikan sports coupe ini dikenali sebagai sebuah INFINITI dengan serta-merta.

Lampu utama LED itu hadir bersama teknologi light guide yang berfungsi memancarkan cahaya secara seimbang. Direka untuk meniru bentuk mata manusia, lampu tersebut memberikan wajah yang menawan perasaan.

Jeriji bahagian dalam adalah kemasan pada badan kenderaan yang menunjukkan hubungan rapatnya dengan enjin.

Agresif dan terkawal

Dimensi luaran Q60 dan siluet yang tajam menyerlahkan sifatnya sebagai sebuah sports coupe penuh kuasa. Penampilan agresifnya memberikan impresi kestabilan dan pemanduan yang terkawal.

Sementara titik graviti yang rendah jelas memberi kesan positif kepada dinamik pemanduan secara keseluruhannya, menggunakan rim aloi aluminium 19 inci dengan rekaan baharu yang dibalut dengan tayar jenis run-flat bersaiz 255/40 RF19 hadir sebagai ciri standard.

Gabungan itu bukan saja memberi penampilan yang agresif, malah meningkatkan aspek pengendalian dan cengkaman dengan kapasiti G-force lebih tinggi, manakala jarak roda ruang di antara tayar dan arca roda kini lebih rapat, sekali gus memberikan visual kereta yang rendah dan berkuasa.

Kecekapan aerodinamik menjadi salah satu keutamaan pasukan reka bentuk dan kejuruteraan INFINITI, hasilnya geseran Q60 cuma 0.29 apabila bahagian luarannya direka dengan amat teliti.

Lebih tepat lagi, corong pada fender hadapan mengarahkan udara dari ruang enjin, manakala hud Q60 juga direka untuk mengurangkan geseran.

Kali pertama diaplikasikan di dunia, penutup but itu kombinasi hibrid di antara satu resin di atas satu kerangka besi, ia direka untuk menghasilkan sebuah duck-tail yang berfungsi menambah baik aspek aerodinamik dan penampilan visualnya.

Info: INFINITI Q60

  • Dilengkapi enam beg udara sebagai ciri standard
  • Q60 hadir dalam lima warna
  • Q60 sedia untuk dipandu uji bermula 7 Mei 2017
  • Diimport sepenuhnya dari Jepun, harga di atas jalan termasuk GST (tanpa insurans) bermula dari RM308,800 untuk Semenanjung Malaysia dan hadir bersama jaminan selama 7 tahun dan perbatuan tanpa had.
427 dibaca
Berita Harian X