Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:00am
MODEL E-Class guna enjin V8, mampu cecah kelajuan 250km/j. - Foto Hafiz Sohaimi

Mercedes lancar jentera paling berkuasa

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan Mercedes-AMG E 63 S 4MATIC+, kereta berenjin V8 paling berkuasa dalam segmennya.

Model E-Class paling berkuasa sepanjang zaman itu ditawarkan pada harga atas jalan termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) tanpa insurans RM998,888.

E 63 S menggunakan enjin 4.0 liter V8 dengan pengecas turbo dan suntikan terus yang menghambur 612 kuasa kuda (hp) pada 5,750 hingga 6,500 rpm, manakala tork puncak 850 Nm pada 2,500 hingga 4,500 rpm.

Ia turut dipacu dengan sistem pemanduan AMG Performance 4MATIC+ pemanduan semua roda kekal dengan pengedaran tork pemboleh ubah dan mod drift.

E 63 S menggunakan transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9-kelajuan sports mampu memecut 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.4 saat, sementara kelajuan maksimum pula 250 km/j.

Enjin V8 turbo

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang MBM, Mark Raine berkata, generasi terkini E 63 S menyaksikan Mercedes-AMG memperkenalkan beberapa pembangunan baharu yang memacu prestasi sebuah limosin menerusi gabungan kejuruteraan rangkaian kuasa dan prestasi maksimum.

Katanya, Ia turut menggabungkan rekaan termaju, kelengkapan eksklusif dan ciri infortainmen terkini untuk aplikasi ketersambungan multimedia yang komprehensif.

"E 63 S menawarkan pelanggan rekaan yang menonjol dengan penyampaian kuasa terbaik bagi enjin V8 turbo berkembar daripada Affalterbach," katanya ketika melancarkan model terkini itu di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Model terbaru Mercedes-AMG itu dilancarkan bersempena penganjuran terakhir Formula Satu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu lalu.

Info:
Mercedes-AMG E 63 S 4MATIC+

  • Harga atas jalan termasuk GST tanpa insurans RM998,888
  • Enjin 4.0 liter V8 dengan  pengecas turbo dan suntikan terus
  • 3,982cc
  • 612 hp @ 5,750 hingga 6,500 rpm
  • Tork puncak 850 Nm @ 2,500 hingga 4,500 rpm
  • Transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9 kelajuan sports
  • 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat
576 dibaca
Berita Harian X