Rabu, 13 September 2017 | 9:27pm
Pengurus Besar Kanan Nasim Sdn Bhd, Yasser Awan (kiri) dan Pengurus Besar, Operasi Asia Tenggara, PSA Groupe, Lionel Faugeres‚Äč pada majlis pelancaran Peugeot 3008

Peugeot sasar tingkat penguasaan pasaran SUV

KUALA LUMPUR: Pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn Bhd (Nasim), mahu meningkatkan penguasaan pasaran dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) melalui pengenalan model terbaharu, Peugeot 3008.

Ketua Jabatan Pemasaran dan Komunikasi, Dennis Michael, berkata Peugeot mahu menguasai dua peratus bahagian dalam segmen SUV Malaysia pada tahun ini dengan model SUV 2008 sedia ada dan SUV 3008 yang baru dilancarkan hari ini.

Dengan pelancaran SUV 5008 Peugeot yang lebih besar dengan tujuh tempat duduk pada tahun hadapan, kami menyasarkan penguasaan sebanyak tiga peratus," katanya di Taiping, Perak, hari ini.

Katanya, Peugeot 3008 telah menjalani peningkatan yang ketara dari segi reka bentuk, tahap keselamatan dan dilengkapi dengan ciri-ciri premium tambahan.

Nasim mempunyai barisan produk yang kukuh dan pasaran domestik untuk SUV masih stabil selepas perangkaan menunjukkan sebanyak 31,926 unit SUV telah terjual dari Januari hingga Julai tahun ini.

"Model SUV 3008 yang pernah kami lancarkan (pada 2014) mempunyai senarai menunggu selama enam bulan. Ia menunjukkan pasaran bergerak dan lebih condong ke arah segmen SUV," katanya.

Katanya, syarikat sedang mencari jumlah keseluruhan jualan sebanyak 1,800 unit pada tahun ini (naik berbanding 1,700 unit pada 2016) dan Peugeot 3008 mempunyai sasaran 400 unit bagi 2017, menyumbang 22 peratus kepada sasaran keseluruhan.

Faktor terpenting penjualan model 3008 adalah reka bentuknya, ia menawarkan ciri dalaman yang sangat menarik untuk pemandu yang dikenali sebagai i-Cockpit.

SUV 3008 yang diimport sepenuhnya boleh didapati dalam dua versi iaitu Active THP (Turbo Bertekanan Tinggi) pada harga RM142,888 dan Allure THP yang lebih mewah pada harga RM155,888 (tanpa insurans).

Harga itu termasuk jaminan lima tahun atau pada jarak 120,000 km serta khidmat bantuan 24 jam Peugeot termasuk akses percuma bagi perkhidmatan Bantuan Sky Park Subang.

Menurut Dennis, model 208 menyumbang hampir 50 peratus kepada sasaran jualan keseluruhan Nasim bagi 2017 dan bakinya terdiri daripada SUV 208, 308, 408 dan 508.

Nasim membelanjakan kira-kira RM5 juta bagi pengembangan rangkaian serta khidmat selepas jualan dalam 2017 dan sekarang ini mempunyai 32 cawangan pusat 3S yang merangkumi jualan, perkhidmatan termasuk alat ganti di seluruh negara. - Bernama

258 dibaca
Berita Harian X