Khamis, 7 September 2017 | 1:12pm
NISSAN Motor Co Ltd semalam melancarkan kenderaan elektrik (EV) Leaf diperbaharui, yang akan memberi saingan kepada Model 3 Tesla Inc.- Foto Reuters

Nissan lancar EV Leaf serba baharu

CHIBA: Nissan Motor Co Ltd semalam melancarkan kenderaan elektrik (EV) Leaf diperbaharui, yang akan memberi saingan kepada Model 3 Tesla Inc.

Pengenalan model itu juga diharap mampu memenuhi permintaan kenderaan EV di pasaran global.

Pembuat kereta itu berkata, ia bertujuan meningkatkan jualan tahunan sebanyak dua hingga tiga angka berbanding model sebelumnya.

"Sekiranya berjaya, Leaf akan menjadi sebahagian besar daripada portfolio Nissan," kata Ketua Eksekutifnya, Hiroto Saikawa pada pelancaran versi baharu itu.

"EV tidak lagi menjadi produk khusus."

Kereta yang akan dijual di Jepun mulai 2 Oktober dan di tempat lain pada awal tahun 2018 itu mampu bergerak sejauh 241 kilometer dengan sekali caj mengikut anggaran pengawalseliaan Amerika Syarikat (AS) berbanding hanya 172km pada edisi sebelumnya, menerusi bateri yang lebih besar iaitu 40 kilowatt sejam.

Harga di Jepun bermula dari 3.15 juta yen (RM0.12 juta).

Pelancaran itu muncul selepas pembuat kereta elektrik mewah, Tesla merampas kedudukan Leaf dengan mengeluarkan Model 3 yang lebih murah pada Julai berharga AS$35,000 (RM147,000).

Tesla berkata, ia menerima setengah juta pesanan untuk Model 3, menyaksikan cabaran Nissan memelihara kedudukan nombor satu model Leaf.

Nissan, yang mengeluarkan Leaf antara kereta pertama EV di pasaran, menampilkan model yang lebih sporty pada reka bentuk termasuk Micra dan Rogue, dalam usaha membuang imej kenderaan EV hanya untuk orang kaya dan persekitaran hijau.

Kereta bersaiz sederhana ini dilengkapi dengan fungsi automatik terbaru Nissan termasuk pemanduan sendiri di lebuh raya lorong tunggal dan tempat letak kereta sendiri dengan 'e-pedal'.

"Penentuan harga mendatar, kami mempunyai perubahan model secara penuh. Anda mempunyai teknologi memandu autonomi, bateri baharu, pemanduan sendiri.

"Adakah ini tidak boleh menarik kepada pelanggan muda?" kata Ivan Espinosa, Naib Presiden Perancangan Produk Global.

Mengulas mengenai semua penambahbaikan, penganalisis berkata, jarak memandu EV semasa terlalu pendek untuk menarik lebih ramai pemandu beralih dari kereta konvensional, terutamanya di AS yang harga petrolnya rendah. - Reuters

949 dibaca
Berita Harian X