Rabu, 23 Ogos 2017 | 1:54pm

Ford, Zotye Auto rancang bangunkan kenderaan elektrik

SHANGHAI: Ford Motor meninjau peluang usaha sama dengan firma automotif China, Anhui Zotye Automobile Co bagi membangunkan kenderaan penumpang elektrik di China di bawah jenama baharu.

China yang bergelut dengan masalah pencemaran serius, kini secara agresif membangunkan kenderaan elektrik dan memperuntukkan pelaburan bernilai puluhan bilion bagi tujuan penyelidikan, subsidi serta menarik lebih banyak pembuat kenderaan baharu melancarkan projek mereka.

Tesla, Daimler AG dan General Motors antara firma terkemuka yang mengumumkan perancangan bagi membangunkan kenderaan elektrik di China, dengan sasaran sekurang-kurangnya seperlima daripada jualan auto negara itu menjelang 2025.

Ford melihat China sebagai pasaran paling pesat berkembang di dunia bagi kenderaan menggunakan tenaga baharu (NEV) dan meramalkan segmen berkenaan akan berkembang sehingga enam juta kenderaan setiap tahun menjelang 2025, dengan empat juta daripadanya ialah kenderaan elektrik.

Kerjasama berpotensi itu akan mewakili pendirian serta komitmen Ford terhadap pembangunan kenderaan elektrik di China.

Pada April lalu, ia menggariskan perancangan untuk menawarkan versi kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2025, iaitu semua model dibangunkan di China dengan kerjasama rakan domestiknya, Chongqing Changan Automobile Co Ltd.

Ford yang merekodkan jualan keseluruhan di China jatuh tujuh peratus pada tahun ini, menandatangani memorandum persefahaman dengan Zotye Auto, semalam.

Menerusi satu kenyataan, kedua-dua firma berkenaan memegang kepentingan 50:50.

-REUTERS

88 dibaca
Berita Harian X