Selasa, 22 Ogos 2017 | 9:00am
JENTERA 2.0L CRDI Diesel tampil kehebatan teknologi Korea Selatan.

Varian terkini SUV Tucson

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) memperkenalkan varian terbaharu Hyundai Tucson iaitu 2.0L CRDI Diesel, jentera menggunakan rangkaian kuasa pengecaj turbo yang dibangunkan untuk prestasi terbaik dan kecekapan bahan api menakjubkan.

Tucson 2.0L CRDI Diesel, yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan itu mampu menghambur kuasa 178PS dan tork 400Nm daripada 1,750 hingga 2,750 rpm pada kelajuan maksimum 201 kilometer sejam (km/j).

Enjin R-series CRDI Diesel yang digunakan varian ini juga dilengkapi dengan penyuntik elektronik piezo yang menggunakan bahan api rendah pada 1800 bar dan pelepasan karbon 186 gram bagi setiap 100 kilometer.

Antara ciri terbaharu yang ditawarkan Tucson 2.0L CRDI Diesel termasuk lampu depan LED dengan lampu lentur statik; fungsi Auto Hold; bonet belakang pintar serta aksesori pilihan seperti pakej kulit (pilihan warna hitam, merah dan putih), kit badan dan rim 19 inci.

"Kami menambah satu lagi varian untuk menarik lebih ramai pelanggan dan minat ke arah kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak paling laris ini.

"Dengan penawaran varian terkini ini, Tucson kini menawarkan rangkaian kuasa lebih luas dalam segmennya iaitu 1.6L Gamma T-GDI, Nu 2.0 MPI dan 2.0L R-series CRDI Diesel," kata Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun.

Pakej keselamatan termaju

Tucson 2.0L CRDI Diesel ditawarkan pada harga atas jalan tidak termasuk insurans RM155,788. Varian lain pula iaitu 2.0L Elegance (RM126,188); dan 1.6L Turbo GDI (RM145,688).

Seperti semua model Hyundai, Tucson turut dilengkapi dengan sistem keselamatan termaju termasuk Sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Kawalan Brek Menuruni Bukit (DBC) dan Brek Letak Kenderaan Elektrik (EPB) dengan fungsi Automatic Vehicle.

Tucson 2.0L CRDI Diesel sama seperti 1.6L T-GDI apabila ditawarkan dengan enam beg udara.

Direka berdasarkan tema Hyundai Fluidic Sculpture 2.0, Tucson dilengkapi dengan bentuk badan yang sporty dengan gaya yang menyerlah.

Bahagian depan didatangkan dengan gril heksagon yang menghubungkan lampu depan dengan Lampu Kedudukan LED yang mencetus identiti sebenar Tucson.

Semua varian Tucson ditawarkan dengan servis percuma 50,000 kilometer (km) bagi tempoh tiga tahun.

HSDM turut menawarkan jaminan lima tahun atau 300,000 km (mana tiba dulu) bagi semua kereta penumpangnya selain serivis bantuan tepi jalan 24 jam bagi semua pemilik baharu dan sedia ada.

Info:
Tucson 2.0L CRDI Diesel

  • Harga atas jalan tidak termasuk insurans RM155,788
  • Enjin 2.0L CRDI Diesel
  • Transmisi 6-kelajuan
  • 178PS dan tork 400Nm daripada 1,750 hingga 2,750 rpm
  • Kelajuan maksimum 201 km/j
  • Sistem keselamatan : 6 beg udara, VSM, HAC, DBC, EPB
452 dibaca
Berita Harian X