Ahad, 13 Ogos 2017 | 9:00am

AOS edisi ke-6 lebih 'gempak'


PAMERAN AOS 2017 menampilkan pelbagai motosikal dan kereta yang diubah suai di MAEPS, Serdang. - Foto Aizuddin Saad

BULAN lalu, berlangsungnya Art of Speed (AOS 2017), acara tempatan Ol-Skool & Kustom Kulture Malaysia kembali untuk semua peminat kereta dan motosikal di seluruh negara.

AOS 2017 yang berlangsung di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang lebih 'gempak' apabila menerima lebih 40,000 pengunjung sepanjang dua hari berlangsungnya acara yang mendapat perhatian peminat pemotoran tempatan.

Acara tahunan yang memasuki edisi ke-6 ini mempamerkan seni kustom tempatan yang terdiri daripada kereta dan motosikal yang diubahsuai, galeri seni, aktiviti interaktif serta pertunjukan aksi.

Antara pengisian terbaru AOS 2017 ialah AOS Invitational Bike Build Off 2017 yang dijayakan oleh Petronas menyaksikan 10 pembina buatan khas dari Malaysia dan Singapura bersaing untuk hadiah wang tunai RM10,000 (pemilihan juri) dan hadiah wang tunai RM5,000 (pilihan awam).

Acara ini juga menyaksikan kerjasama khusus jenama ikonik di Malaysia iaitu Boon Siew Honda dan Art of Speed yang membentuk gabungan kolaborasi Boon Siew X Art of Speed yang menjanjikan antara acara kemuncak utama, di mana empat ikon gaya hidup seperti Legend Racing Garage, BWB, District Shop Gallery dan Ah Ho Motors mempamerkan seni binaan khas ciptaan mereka.


KETUA Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Boon Siew Honda Malaysia, Nobuhide Nagata menunggang motosikal Honda Rebel 500cc. - Foto Aizuddin Saad

BSH perkenal Rebel

Bersempena AOS 2017, Boon Siew Honda (BSH) mengambil kesempatan melancarkan cruiser terbaru, Rebel yang ditawarkan pada harga termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) RM31,798.94.

Rebel dikuasakan dengan enjin dua silinder selari suntikan bahan api DOHC yang mampu menjana 45 kuasa kuda (hp) pada 8,500 rpm dan tork 44.6 Nm pada 6,000 rpm yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Rebel ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu 'Graphite Black', 'Millennium Red' dan 'Matte Armoured Silver Metallic'.


PENGERUSI Eksekutif Kumpulan Naza World, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin bersama Dafi dan Aliff Satar bergambar dengan motosikal Ducati Scrambler Cafe Racer yang dilancarkan pada AOS 2017. - Foto Aizuddin Saad

Ducati lancar 2 varian Scrambler

Ducati Malaysia menyertai BSH untuk memperkenalkan dua varian Ducati Scrambler Café Racer dan Desert Sled yang masing-masing dijual pada harga termasuk GST, RM68,899 dan RM68,899.

Café Racer dan Desert Sled masih lagi menggunakan enjin dua silinder L 803cc Desmodromic sama seperti Scrambler Icon, sama juga dengan kuasanya iaitu 73 hp pada 8,250 rpm dan tork 67 Nm pada 5,750 rpm.

Bagaimanapun, Café Racer ditawarkan dengan ciri lebih sporty, manakala Desert Sled pula lebih menawan untuk mereka yang mahukan kelebihan menawan 'off-road'.

Info:
Art of Speed

  • 29 - 30 Julai 2017
  • Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang
  • Lebih 40,000 pengunjung
Berita Harian X