Isnin, 17 Julai 2017 | 3:19pm
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari berucap pada sidang akhbar kedua Pameran kenderaan Malaysia Autoshow 2017. - Foto Surianie Mohd Hanif

Pameran Auto M'sia 2017 jadi platform kukuh TIV

SERDANG: Pameran Auto Malaysia 2017 bermula 9 November ini, akan menjadi platform terbaik bagi pengedar kenderaan di negara ini menambah angka jualan penghujung tahun, sekali gus menyokong jualan keseluruhan industri (TIV) tempatan.

Acara empat hari anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) itu akan diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, menjadikannya pameran automotif terbesar yang pernah dianjurkan dalam sejarah industri permotoran di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari, berkata disebabkan Pameran Auto Malaysia 2017 akan diadakan pada penghujung tahun, pihaknya berharap pempamer dan pengedar akan dapat menjual lebih banyak kenderaan ketika acara berkenaan.

"Menjadi sasaran kami untuk menjadikan acara ini sebagai platform untuk orang ramai datang dan memandu uji kereta sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli.

"Kami sedang berusaha secara agresif dan disebabkan itulah promosi pameran kali ini adalah mengenai pemahaman mengenai sesebuah model kereta bagi memudahkan pembeli membuat keputusan. Malah, kawasan yang ada di sini memudahkan pengunjung membuat pandu uji," katanya pada sidang media perkembangan terkini Pameran Auto Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Madani berkata, MAI kini sedang memperkemaskan persediaan keseluruhan Pameran Auto Malaysia 2017, termasuk penganjuran Simposium Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIAS) yang akan diadakan buat kali pertama tahun ini.

"Buat masa ini, lebih 80 peratus ruang pameran sudah dijual dan majoriti daripada jenama utama dalam pasaran akan turut serta. Beberapa aktiviti luar dewan juga akan diadakan, termasuk penganjuran Kart Slalom pertama di negara ini.

"Acara lain sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan pada tarikh menjelang pameran itu kelak," katanya.

Bagi menjadikan pameran lebih menarik kepada orang ramai, seorang pengunjung bertuah akan membawa balik sebuah kereta baharu, Peugeot 208 PureTech bernilai RM89,888.

Sementara itu, Anugerah Kereta Tahunan MAI akan diberikan sebelum pameran diadakan. Pemenang daripada 30 kategori akan diumumkan pada 8 November depan, iaitu sehari sebelum Pameran Auto Malaysia 2017 dibuka kepada orang ramai.

Buat kali pertama, pencalonan bagi Kereta Tahunan terbuka kepada semua kereta baharu yang dijual oleh pemilik jenama atau pemilik francais.

357 dibaca
Berita Harian X