Sabtu, 6 Oktober 2018 | 12:21pm
KERATAN akhbar BH 1 Oktober 2018.

Kolej ditutup susulan laporan BH

KUALA LUMPUR: Kolej swasta yang memperdaya pelajar dengan membekalkan pelajar sebagai buruh murah menerusi latihan praktikal yang didedahkan BH baru-baru ini diarah tutup oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Tenaga Manusia.

Arahan penutupan berkuat kuasa semalam diambil selepas JPK mengeluarkan surat pembatalan pentauliahan kepada pusat berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Nidzam Kamarulzaman, berkata tindakan diambil mengikut Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 selepas JPK menjalankan siasatan ekoran pendedahan akhbar BH, Isnin lalu.

“Kolej terbabit mesti memulangkan semua sijil pentauliahan dalam tempoh tiga bulan.

Tindakan undang-undang

“Semua pelajar tidak akan diberi sijil lulus kerana gagal memenuhi keperluan latihan. Ini tindakan permulaan. JPK akan mengambil tindakan undang-undang atas penipuan,” katanya di sini, semalam.

Isnin lalu, BH membongkar operasi mencurigakan kolej swasta yang memperdaya pelajar dengan membekalkan mereka sebagai tenaga kerja murah menerusi latihan praktikal di industri.

Nidzam berkata, JPK mengambil langkah pertama dengan menutup pusat bertauliah berkenaan bagi menghalang pengambilan pelajar baharu.

“Saya cukup marah tindakan tidak bertanggungjawab pihak kolej berkenaan. Terlalu banyak kesalahan.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama BH menjalankan siasatan dan pendedahan ini bagi mengelakkan pelajar lain juga menjadi mangsa,” katanya.

Kolej berkenaan sebelum ini yang menerima penarafan satu bintang bermaksud lemah dalam aspek kemudahan dan operasi.

3059 dibaca
Berita Harian X