Khamis, 20 September 2018 | 1:22pm
MOHD Yusof ketika ditemui di KualaLumpur, semalam. - NSTP/Rosdan Wahid

Kontraktor berisiko disenarai hitam

KUALA LUMPUR: Penangguhan projek dan pembekuan dana oleh agensi kerajaan sejak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 boleh mengakibatkan kontraktor Bumiputera disenarai hitam.

Sebahagian kontraktor kelas F sudah dihubungi oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Bank Rakyat yang mengingatkan mereka untuk melunaskan hutang.

Seorang kontraktor yang terjejas, Mohd Yusof Mohd Tahir, berkata kontraktor yang disenarai hitam, termasuk oleh Agensi Pelaporan Kredit (APK) akan menjejaskan masa depan kontraktor untuk mendapat projek baru dan mereka mungkin ‘gulung tikar'.

Katanya, kontraktor kelas F tidak mempunyai modal besar dan terpaksa membuat pinjaman selepas berjaya dianugerahkan projek.

“Sebenarnya, untung sedikit saja setiap kali projek disiapkan seperti daripada RM50,000 peruntukan bagi satu projek, kontraktor hanya menerima pendapatan bersih dalam RM10,000 hingga RM20,000 selepas ditolak kos operasi, tenaga kerja, bahan mentah dan perkakasan.

“Bagaimanapun, untuk mendapat projek lain selepas projek sudah siap, bukanlah mudah kerana kontraktor terpaksa bersaing,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia, Tukiman Radion, bahawa kira-kira 400 kontraktor Bumiputera berisiko gulung tikar kerana agensi kerajaan belum mengeluarkan bayaran untuk projek yang sudah siap.

Mohd Yusof yang juga Yang DiPertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF Malaysia) Cawangan Pahang berkata, beliau dan ahli persatuan turut berdepan risiko disaman syarikat perkakasan kerana gagal membayar sewaan, walaupun projek sudah siap.

“Seramai 28 kontraktor di daerah Bentong yang tidak menerima bayaran dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta selepas projek siap sebelum PRU-14.

“Di Pahang saja terdapat 11 daerah, bermakna anggaran tuntutan belum dibayar kira-kira RM16.5 juta. Bayangkan jumlah tuntutan bagi negeri lain pula,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi kontraktor yang belum menerima bayaran Khairol Arifin, berkata PERKOBF Malaysia memperjuangkan nasib kira-kira 24,000 kontraktor Bumiputera Kelas F yang berdaftar, bukan mewakili parti politik.

“Projek yang sudah siap tidak dibayar dan ini memberi gambaran masa depan gelap kepada ahli PERKOBF hingga menimbulkan persoalan adakah ada pihak cuba menutup periuk nasi kontraktor Bumiputera?” katanya.

1493 dibaca
Berita Harian X