Isnin, 17 September 2018 | 2:00pm
Laporan eksklusif BH Ahad, semalam.

Kejayaan, peranan MEIO dirahsiakan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), antara agensi risikan penting negara yang jarang sekali mendapat pendedahan umum, sudah menghasilkan pelbagai kisah kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa sejak penubuhannya kira-kira enam dekad lalu.

Anggota organisasi berkenaan adalah ‘wira tak didendang’ kerana menjalankan tugas yang kritikal, namun peranan penting mereka dirahsiakan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penyelaras Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kolonel Mohd Sakri Hussin, berkata MEIO bukan organisasi yang baharu ditubuhkan, sebaliknya sudah wujud selepas merdeka lagi.

“Ia diletakkan di bawah Jabatan Penyelidikan JPM (Jabatan Perdana Menteri),” katanya kepada BH.

Semalam, BH mendedahkan MEIO yang menggerakkan misi sulit bagi melindungi keselamatan negara, dianggotai individu dari pelbagai latar belakang dan kepakaran, antaranya dalam bidang teknologi maklumat, keselamatan dan bencana serta urusan berkaitan diplomasi atau rundingan.

Seorang individu yang pernah bertugas bersama organisasi berkenaan, berkata keanggotaan MEIO kini dianggar lebih 1,000 orang dengan tempat tugasan bukan hanya di Putrajaya, tetapi juga semua negeri dan di luar negara termasuk Eropah dan Asia Barat.

Misi berani mati

Antara misi pernah dijalankan MEIO adalah kes penculikan rakyat Malaysia di luar negara, rundingan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina serta isu keselamatan di selatan Thailand.

Selain itu, misi bantuan kemanusiaan ke Bosnia, Yaman dan Syria serta siasatan insiden pesawat MH17 ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine yang dikendalikan sekumpulan pakar dari Malaysia dikenali sebagai The Dozen Person.

Disifatkan sebagai misi berani mati, keupayaan The Dozen Person menyelesaikan proses rundingan dalam tempoh 24 jam, tiga hari selepas pesawat itu ditembak jatuh, mengagumkan masyarakat antarabangsa.

Malah, rundingan diselesaikan tanpa sebarang syarat ditetapkan oleh pemimpin pemisah, Alexander Borodai, yang mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri Republik Rakyat Donetsk (DPR).

Selain Mohd Sakri yang ketika itu bertugas dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), The Dozen Person turut dianggotai pakar komunikasi, doktor perubatan, pakar patologi dan pengecaman mangsa bencana (DVI), jurubahasa tentera, pegawai Pasukan Khas Penyelamat dan Bencana Malaysia (SMART) serta anggota komando sebagai langkah keselamatan.

MEIO mendapat perhatian rakyat susulan pendedahan mengenai sepucuk surat yang dihantar oleh bekas ketua organisasi berkenaan kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Mohd Sakri yang juga Ketua Perunding The Dozen Person, berkata tugasan MEIO tidak sewajarnya didedahkan kepada umum kerana ia untuk kepentingan strategik negara.


GAMBAR fail, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penyelaras Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kolonel Mohd Sakri Hussinn Negara (MKN) merangkap Ketua Perunding The Dozen Malaysian, Leftenan Kolonel Mohd Sakri Hussin. - Foto Asyraf Hamzah

Maklumat sulit kerajaan

Beliau memberi contoh, surat daripada organisasi berkenaan kepada CIA yang heboh diperkatakan sebelum ini juga tidak wajar dibocorkan kerana ia sebahagian daripada maklumat sulit kerajaan.

“Tak sepatutnya (surat itu) kita dedahkan. Ia adalah untuk kepentingan strategik negara,” katanya ketika diminta mengulas sama ada pengutusan surat terbabit menyalahi undang-undang negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini turut menyatakan pendedahan surat itu tidak sepatutnya berlaku kerana bertentangan dengan dasar kerajaan berhubung kerahsiaan, khususnya membabitkan maklumat risikan.

Mohd Sakri bagaimanapun menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kebocoran kandungan surat berkenaan.

Mengenai peranan MEIO, beliau menjelaskan, fungsi dan tugas organisasi itu sama seperti ejen perisikan Russia (KGB), ejen perisik British (MI6) dan CIA.

1329 dibaca
Berita Harian X