Isnin, 17 September 2018 | 11:48am

Enam kali cuba bunuh diri

KUALA LUMPUR: Kekurangan interaksi dan kemahiran bersosial, serta tidak mampu mengendalikan kekecewaan menyebabkan Arif (bukan nama sebenar) berasakan dirinya tidak lagi berguna.

Tanpa berfikir panjang, anak muda berusia lingkungan 20-an itu mengambil keputusan untuk menamatkan riwayatnya lebih enam kali, namun semua percubaannya itu gagal.

Arif bernasib baik kerana nyawanya masih panjang, tetapi dia terpaksa melalui rawatan psikologi dalam tempoh panjang untuk membuatkannya lupa buat seketika masalah dan perasaan terpendam sejak sekian lama.

Arif yang kini melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan di luar negara, mengakui perjalanan hidupnya tidak selancar dibayangkan kebanyakan orang yang melihatnya.

“Ujian saya berbeza. Saya mungkin nampak bahagia dan cukup semuanya, namun hakikatnya tiada satu pun impian saya tercapai.

“Apabila pulang ke rumah, saya lebih suka bersendirian dan renung semula usaha yang tidak berhasil sehingga menyebabkan saya sukar tidur malam dan hilang minat meluangkan masa bersama keluarga dan rakan,” katanya.

Arif berkata, tabiat suka memikirkan masalah itu lama-kelamaan memakan diri sehingga dia disahkan menghidap kemurungan kronik, malah tanpa disedari sentiasa berfikir untuk bunuh diri setiap kali gagal mengawal perasaan.

Timbul kekesalan

“Macam-macam cara saya cuba untuk bunuh diri, namun semuanya gagal. Pernah satu ketika saya fikir saya orang yang paling malang dalam dunia kerana usaha untuk bunuh diri pun gagal,” katanya.

Katanya, kegagalan membunuh diri menyebabkan timbul kekesalan dan mahu pulang ke pangkal jalan kerana tidak semua orang diberi peluang lebih daripada sekali meneruskan kehidupan.

“Saya tidak pasti kalau orang lain memahami perasaan saya apabila terpaksa melihat orang lain lebih mudah diterima berbanding saya, biarpun sudah melakukan pelbagai cara untuk mendekati orang sekeliling.

“Saya paksa diri untuk terima takdir bahawa ini mungkin terbaik untuk saya dan keluarga. Saya masih sedih, geram dan kecewa dengan kegagalan diri, tetapi saya perlu terima apa yang sudah ditetapkan Allah,” katanya.

1427 dibaca
Berita Harian X